B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan komited galakkan amalan pengambilan pekerja secara beretika — MITI

Kerajaan komited galakkan amalan pengambilan pekerja secara beretika — MITI

17 Dis 2020

Kerajaan sememangnya komited dalam usaha menggalakkan amalan pengambilan pekerja secara beretika serta mengikut standard antarabangsa bagi menyanggah dakwaan berlakunya buruh paksa yang menjejaskan reputasi Malaysia serta memberi impak negatif terhadap rangkaian rantaian bekalan industri.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Norazman Ayob berkata kerajaan mengambil maklum serta turut bimbang dengan perintah sekatan oleh Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan wujudnya elemen buruh paksa membabitkan syarikat negara ini.

Menurutnya, impak langsung daripada tindakan sedemikian akan turut melibatkan keseluruhan industri dari segi risiko terhadap reputasi.

“Dalam usaha perniagaan mengurangkan kos atau menambah baik kualiti produk, apa yang turut penting adalah mengekalkan keyakinan pelanggan yang dimaklumkan mengenai amalan buruh tidak beretika atau di bawah standard minimum ditetapkan oleh syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian webinar bertajuk ‘Buruh Paksa : Perspektif United Kingdom, AS dan Australia’ di sini, hari ini.

Norazman berkata isu hak pekerja membabitkan Malaysia yang menjadi tajuk utama media tidak hanya memberi kesan terhadap operasi perniagaan industri di sini, tetapi juga di pasaran antarabangsa seperti AS dan Kesatuan Eropah.

“AS misalnya telah mengenakan Perintah Sekatan Pelepasan terhadap beberapa barangan dari Malaysia yang menyebabkan kerugian pendapatan selain menjejaskan reputasi syarikat-syarikat kita,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh membabitkan aspek pengurusan serta menangani isu berkaitan hak pekerja, amalan serta dakwaan berlakunya buruh paksa.

Malah, katanya, Jabatan Tenaga Kerja telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan termasuk Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Dari sudut pelaburan, pihak pelabur institusi dan pengurus dana sememangnya mengingatkan syarikat-syarikat agar melaksanakan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi perniagaan atau operasi yang berkaitan dengan amalan pekerja yang baik,” katanya.

Beliau turut menggesa syarikat-syarikat tempatan agar mempraktikkan amalan tenaga kerja yang baik serta ESG tersebt bagi mengembangkan akses pasaran, mendapatkan pembiayaan selain membolehkan integrasi dalam rantaian bekalan serantau serta global.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon