B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Alibaba Cloud gesa PKS guna pengkomputeran awan bagi kembangkan perniagaan

Alibaba Cloud gesa PKS guna pengkomputeran awan bagi kembangkan perniagaan

17 Dis 2020

Syarikat pengkomputeran awan China, Alibaba Cloud menggesa lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan pengkomputeran awan untuk seiring dengan kadar transformasi digital yang pesat.

Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia Jordy Cao berkata terdapat PKS yang mungkin tidak memahami perkhidmatan awan, dan mereka akan memerlukan perkhidmatan plug-and-play atau perisian yang boleh disediakan oleh syarikat teknologi kewangan seperti Revenue Monster yang berpangkalan di Malaysia.

“Perkhidmatan awan tidak dapat dielakkan dan transformasi digital awan di Malaysia berlaku dengan pantas. 

“Kami (Alibaba Cloud dan Revenue Monster) menyediakan penyelesaian untuk membantu pelanggan dalam pelbagai peringkat dan keperluan untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sewajarnya,” katanya pada sesi “Alibaba Cloud: Malaysia Media Roundtable: Accelerating Digital Transformation Through Intelligent Cloud” secara maya, hari ini.

Perkhidmatan awan merujuk kepada pelbagai perkhidmatan yang diberikan berdasarkan permintaan kepada syarikat dan pelanggan melalui Internet.

Perkhidmatan ini dibangunkan untuk memberikan akses yang mudah dan mampu milik kepada aplikasi dan sumber, tanpa memerlukan infrastruktur atau perkakasan dalaman.

Ditanya sama ada kekurangan dana telah menyebabkan kelewatan dalam penggunaan perkhidmatan awan, Cao berkata walaupun tanpa awan, PKS masih memerlukan sistem untuk menguruskan kos pekerja, penyelenggaraan dan utiliti, yang perlu dijalankan serentak dan dengan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, apabila mereka memilih untuk menggunakan perkhidmatan awan, mereka boleh membelanjakannya secara berperingkat, berdasarkan keperluan mereka dan pertumbuhan perniagaan mereka, dan menyesuaikannya dengan mudah apabila perniagaan tidak menentu.

“Alibaba komited untuk membawakan penyelesaian yang menjimatkan kos dalam pasaran, bukan hanya di Malaysia, tetapi di peringkat global.

“Kami menyediakan pakej yang berbeza di laman web kami pada setiap bulan atau musim, dan pakej promosi seperti server percuma, pangkalan data percuma, penyimpanan percuma dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster Amanda Chin berkata dengan Alibaba Cloud, PKS akan dapat memberi lebih tumpuan kepada hala tuju dan strategi perniagaan mereka.

“PKS tidak perlu bimbang untuk mengekalkan infrastruktur berikutan ia akan disokong oleh penyedia perkhidmatan awan seperti Alibaba Cloud dan Revenue Monster. 

“Setiap PKS perlu menggunakan teknologi awan. Bagi syarikat yang tidak mempunyai pasukan Teknologi Maklumat (IT) yang kuat, mereka boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet tempatan seperti kami untuk membantu menyelesaikan masalah dan cabaran IT,” katanya. 

Pada Festival Beli-Belah Global 11.11 baru-baru ini, Alibaba Cloud memberikan sokongan yang membolehkan 583,000 urus niaga serentak sesaat.

Teknologi teras baharu yang disediakan oleh Alibaba Cloud menyokong acara itu yang menjana US$74.1 bilion (US$1=RM4.04) dari segi nilai dagangan kasar (GMV).

Ini termasuk penggunaan teknologi awan, pusat data skala besar, robot pintar generasi ketiga dan terjemahan kecerdasan buatan (AI) penstriman langsung. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon