B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Penyertaan Malaysia dalam RCEP ada pelbagai manfaat

Penyertaan Malaysia dalam RCEP ada pelbagai manfaat

17 Dis 2020

Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mempunyai pelbagai manfaat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata ia mengukuhkan lagi integrasi ekonomi dan meningkatkan pemudahan di antara negara-negara ASEAN dengan rakan-rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

“Ini kerana negara-negara dalam RCEP masing-masing mempunyai kelebihan sendiri sama ada dari segi bahan mentah, kepakaran dan teknologi, sumber manusia yang mahir dan berkualiti atau pasaran yang besar,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang mengenai manfaat besar RCEP kepada sosioekonomi negara.

Lim berkata RCEP akan membuka akses pasaran yang lebih luas melalui penghapusan dan pengurangan tarif dan bukan tarif, piawaian dan peraturan teknikal yang standard serta kerjasama ekonomi.

“Ini akan memudah cara perdagangan rentas sempadan untuk produk keluaran tempatan.

“RCEP akan mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau melalui peraturan tempasal yang lebih mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata RCEP akan mengukuhkan integrasi syarikat-syarikat tempatan dalam rantaian nilai dan bekalan global untuk lebih berdaya saing di persada antarabangsa seterusnya menjadi syarikat bertaraf global.

RCEP akan memudahkan para peniaga Malaysia untuk memperoleh sumber bahan mentah yang akan digunakan dalam proses pembuatan, katanya.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan tempatan termasuk e-dagang juga dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar dari segi penawaran rentas sempadan dan mewujudkan keberadaan komersial di pasaran RCEP.

Ini memandangkan RCEP merangkumi 2.2 bilion penduduk atau satu pertiga daripada penduduk dunia, katanya.

“Syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran RCEP dan menikmati keistimewaan tarif yang disediakan akan memilih untuk melabur di rantau RCEP, ini akan meningkatkan pelaburan langsung asing dan tempatan memandangkan negara kita ialah desitinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

“Penyertaan RCEP juga dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca-COVID-19 menerusi pembukaan pasaran dan peningkatan pemudahan perdagangan antara negara-negara anggota RCEP,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon