B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan ambil langkah mulakan semula rundingan MEUFTA

Kerajaan ambil langkah mulakan semula rundingan MEUFTA

14 Mac 2022

Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya kerajaan sedia maklum mengenai kepentingan Kesatuan Eropah sebagai antara rakan dagang utama Malaysia.

“Semasa perbincangan terkini pada 23 Dis, 2021, kedua-dua pihak telah mengambil maklum berkenaan kedudukan terkini isu-isu yang masih tertangguh dan berusaha untuk merunding pendekatan dan hala tuju perjanjian ini. 

“Keputusan untuk menyambung semula rundingan ini akan dibuat dengan teliti setelah mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 14 Ogos, 2019, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menangguhkan rundingan MEUFTA berikutan tiada kesefahaman daripada kedua-dua pihak berkaitan isu-isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek termasuk petunjuk geografi.  

Berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Lim berkata satu Kajian Analisa Kos Faedah bagi mengenal pasti impak daripada penyertaan Malaysia telah selesai dijalankan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat. 

“Susulan itu, dokumen kajian ini akan dimuat naik di laman sesawang MITI sebagai rujukan umum, terutamanya kepada pihak yang berkepentingan,” kata Lim. 

Beliau berkata Malaysia dan Amerika Syarikat telah bersetuju untuk merangka satu memorandum kerjasama di antara kedua-dua negara melalui satu sesi meja bulat yang diadakan pada November 2021. 

Lim berkata kerjasama ini akan menyumbang kepada usaha MITI dalam merangka pelan tindakan pengukuhan rantaian bekalan produk-produk strategik dalam negara. 

“Ini akan turut merangkumi pelbagai usaha bagi menangani risiko bencana alam atau krisis kesihatan pada masa hadapan yang boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran produk-produk strategik daripada memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya. 

Mengenai konflik Rusia-Ukraine, Lim berkata kesan langsung konflik itu terhadap Malaysia adalah minimum dengan jumlah keseluruhan perdagangan negara dengan kedua-dua negara berkenaan adalah dalam lingkungan 0.5 peratus. 

“Bagaimanapun, kita perlu lihat kepada impak secara tidak langsung ke atas perdagangan Malaysia terutamanya pada sektor-sektor lain seperti sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang 13 peratus kepada pengujian cip dan pembungkusan dunia iaitu satu proses penting dalam penghasilan semikonduktor.

“Gangguan ke atas rantaian global yang berlanjutan, permintaan eksport yang lemah di Eropah dan negara serantau yang terlibat dalam sektor semikonduktor akan mendatangkan kesan tidak langsung kepada perdagangan kita,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon