B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC sasar komitmen pelaburan RM4 bilion di Terengganu

ECERDC sasar komitmen pelaburan RM4 bilion di Terengganu

14 Mac 2022

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal mewujudkan lebih 2,800 pekerjaan baharu dan 250 peluang keusahawanan di Terengganu serta RM2 bilion pelaburan yang akan direalisasikan pada tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri memuji usaha ECERDC yang optimis dalam memacu pelaburan yang kukuh untuk Terengganu pada 2022.

“Dengan strategi ekonomi yang tepat dan pembangunan infrastruktur pengupaya, Terengganu sememangnya sebuah destinasi pelaburan yang menarik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau juga mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER pada Ahad dan melawat program empower ECER-Mekar di Dungun untuk menyaksikan program keusahawan yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Petronas.

Pada tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih seramai 1,200 pelajar di 30 buah sekolah di bawah Program Latihan Akademik empower ECER manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih 450 peserta di negeri itu.

“Selepas melawat program empower ECER-Mekar, saya dan ahli-ahli mesyuarat ICC turut melawat projek Tanjung Buatan di Teluk Lipat yang akan dibangunkan untuk aktiviti pelancongan,” katanya.

Menurutnya, ia termasuklah pembangunan taman riadah dengan aktiviti sukan air, kedai-kedai dan juga lokasi cadangan taman kenderaan rekreasi (RV) perintis yang bakal menjadi daya tarikan utama kawasan itu serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata, projek itu juga dibangunkan untuk perlindungan pantai serta melihat potensi pertumbuhan masa hadapan yang diharap akan memberi limpahan ekonomi kepada negeri dan rakyat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon