B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan akan perkenal kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion untuk bantu syarikat

Kerajaan akan perkenal kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion untuk bantu syarikat

29 Okt 2021

Kerajaan akan memperkenalkan kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan kuasi-ekuiti bagi membantu syarikat yang mengalami masalah menguruskan hutang atau leveraj.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN) dengan dana bernilai RM600 juta dan terbuka kepada semua terutama usahawan bumiputera.

“Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan menawarkan Skim RESET (Pemulihan dan Sokongan Menerusi Ekuiti) manakala Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Dana Permodalan Semula Perniagaan bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

“Secara keseluruhan, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2022, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

Tengku Zafrul berkata bagi ketersediaan dana yang berterusan, dana BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini kepada RM11.2 bilion.

Beliau berkata selain itu, satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga akan diperkenalkan.

“Inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan.

“Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Bhd akan diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon