B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia bagi 2021 dijangka lebih kukuh – MIDA

Jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia bagi 2021 dijangka lebih kukuh – MIDA

14 Jan 2022

Malaysia dijangka mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan yang lebih kukuh pada 2021 yang bakal diumumkan pada 8 Mac ini dengan prestasinya diunjur mengatasi pencapaian tiga tahun sebelum ini, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman berkata Malaysia telah memaparkan daya tahan yang mantap dalam mengharungi cabaran tidak dijangkakan susulan pandemik COVID-19 yang sebaliknya terbukti memberi peluang tersendiri.

“Usaha serta daya tahan MIDA dalam melaksanakan pelbagai program jangkauan serta pengalakan pelaburan ternyata bermanfaat. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM106.1 bilion yang merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.

“Baki 40.3 peratus atau RM71.7 bilion disalurkan daripada pelaburan langsung domestik (DDI) dan kami berterima kasih kepada syarikat tempatan sedia ada dan baharu yang telah dapat memenuhi keperluan industri pelbagai syarikat multinasional (MNC),” katanya pada sesi penghargaan bersama media pada Khamis.

Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai RM164 bilion menerusi 4,599 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada 2020 manakala pada 2019 mencatatkan RM211.4 bilion dan RM201.7 bilion pada 2018.

Bagi 2022, Arham berkata MIDA kekal optimis terhadap sasaran angka lebih baik walaupun agak sukar untuk mengatasi prestasi 2021.

Menurutnya, ini berikutan Malaysia berupaya menarik beberapa projek bernilai tinggi pada tahun lepas seperti projek solar Risen Energy Co Ltd yang membabitkan pelaburan bernilai RM42.2 bilion.

Bagi perancangan tahun ini, beliau berkata MIDA mempunyai 477 projek dengan cadangan pelaburan bernilai RM33.3 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Ini termasuk aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), jentera dan peralatan, reka bentuk litar bersepadu (IC), elektronik canggih, tenaga boleh diperbaharui seperti solar fotovoltan (PV), optik dan fotonik, teknologi paparan, petrokimia, farmaseutikal, peranti perubatan serta keselamatan atau jaminan makanan.

“Kami menyasarkan untuk memanfaatkan momentum pemulihan yang dialami pada 2021 bagi memacu pertumbuhan pelaburan pada 2022.

“MIDA juga berhasrat untuk mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah hjab digital serantau dengan ekosistem perniagaan holistik yang dapat mengubah pelaburan sebagai tonggak ekonomi mampan. Kami mahu mengurangkan impak alam sekitar, mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi, memperluas hubungan domestik, menggalakkan kluster pertumbuhan baharu selain menawarkan aspek keterangkuman,” katanya.

Arham berkata, MIDA juga akan memberi tumpuan terhadap usaha bagi mendapatkan lebih banyak projek berkualiti tinggi, berintensifkan modal dan menyokong agenda pembangunan mampan negara.

“Kami turut memberi penekanan terhadap aspek mempercepat penerimagunaan dan pelaksanaan automasi kilang dan tahap pendigitalan maju bagi membolehkan peralihan hab bercirikan konvensional kepada pengilangan pintar. Ini dapat meningkatkan fleksibiliti dan mengoptimumkan produktiviti serta pertumbuhan.

“MIDA berusaha untuk memastikan Malaysia kekal menarik untuk pelabur dengan melaksanakan pendekatan bagi mengurangkan cabaran menjalankan perniagaan di negara ini dan pada masa sama menggalakkan serta memberi kemudahan syarikat menerima guna teknologi, inovasi dan penyelidikan,” katanya.

Sehubungan itu, Arham berkata MIDA telah menyenaraikan misi perdagangan dan pelaburan bersasar selain misi projek khusus untuk menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, inovasi dan penyelidikan yang dapat melengkapkan lagi ekosistem perindustrian Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon