B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor berpotensi terima 20 lagi pelaburan baharu

Johor berpotensi terima 20 lagi pelaburan baharu

18 Okt 2022

Kerajaan negeri Johor sedang berunding dengan kira-kira 20 syarikat dan perniagaan mengenai pelaburan baharu dan pengembangan di Johor, dua daripadanya dijangka dimeterai menjelang akhir tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han, berkata kedua-dua perjanjian itu akan meningkatkan jumlah pelaburan negeri itu tahun ini melebihi RM60.9 bilion, ia adalah jumlah direkodkan dari Januari hingga Jun 2022.

Beliau berkata, perundingan itu membabitkan dua penggiat pusat data dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun.

Selain itu, Lee berkata pengumuman kerajaan persekutuan mengenai Pengerang untuk diberi status istimewa serta insentif khas untuk syarikat kimia dan petrokimia yang berminat turut menarik minat syarikat dari Jepun, China dan Taiwan.

“Mereka mengemukakan pertanyaan mengenai status istimewa Pengerang, mahu penjelasan lengkap mengenainya, justeru ia menunjukkan wujud minat di Pengerang dalam bidang kimia dan petrokimia. Sudah tentu, saya ada menyatakan baru-baru ini bahawa kami sedang berbincang dengan dua syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di AS.

“Kami harap dapat memuktamadkan perjanjian itu dan membantu mereka melabur di Johor pada awal tahun depan atau pun pada suku kedua 2023. Kami melihat aliran masuk pelaburan yang positif. Kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan kira-kira 20 syarikat dan perniagaan.

“Sehubungan itu, kami melihat prospek yang baik untuk Johor sehingga suku kedua tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Johor Bahru Gateway DHL Express di Senai, di sini hari ini.

Selain dua industri itu, terdapat juga beberapa minat daripada pemain industri pembuatan elektrik dan elektronik di Johor.

“Malaysia mendapat manfaat daripada perang perdagangan China kerana banyak firma sedang mempertimbangkan untuk beralih ke tempat neutral dan seperti yang saya nyatakan, Malaysia khususnya Johor terletak di lokasi strategik. Kita berada dalam radius enam jam dari bandar utama di Asia Pasifik yang membolehkan Malaysia memberikan banyak kelebihan daya saing berbanding negara lain.

“Oleh itu, kami menjangkakan aliran masuk positif sekurang-kurangnya sehingga suku kedua tahun depan. Seterusnya, melangkah ke hadapan, ia akan bergantung pada keadaan ekonomi global,” kata Ting Han.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan DHL Express Johor Gateway yang menjadi satu daripada enam pintu masuk merentasi rangkaian penerbangan dan darat DHL Express Malaysia.

Turut hadir Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.

Kemudahan bernilai RM10.8 juta itu dilengkapi dengan sistem penghantar berkelajuan tinggi yang mampu menyusun sehingga 1,900 penghantaran sejam serta pemprosesan penghantaran yang lebih baik untuk lebih daripada 1,800 bungkusan dan dokumen.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon