B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dasar percukaian penting untuk galakkan syarikat terima pakai ESG – Tengku Zafrul
Bernama

Dasar percukaian penting untuk galakkan syarikat terima pakai ESG – Tengku Zafrul
Bernama

18 Okt 2022

Dasar dan strategi percukaian mesti memainkan peranan dalam menggalakkan syarikat atau perbadanan untuk menerima dan melaksanakan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia telah mengguna pakai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan yang merangkumi keutamaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Kita juga komited untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan telah menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk menetapkan sasaran bersih-sifar yang sama,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di mesyuarat tahunan ke-51 Kumpulan Kajian mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia-Pasifik (SGATAR) 2022 di sini hari ini.

Bagi menyokong usaha ini, katanya kerajaan sedang berusaha ke arah percukaian karbon dan mengkaji kemungkinan mekanisme penetapan harga karbon.

“Kami juga mencadangkan agar dilanjutkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) untuk aktiviti hijau yang layak, dan mengembangkannya untuk memasukkan sistem penyimpanan tenaga solar dan bateri,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan komited terhadap kemampanan dalam erti kata yang luas melangkaui alam sekitar dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disasar dicapai pada 2030.

“Sejajar dengan SDG, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan justeru, dalam Bajet 2023 kami mencadangkan peruntukan RM1 bilion untuk membantu isi rumah yang sangat miskin meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Tengku Zafrul turut menyatakan Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dalam pendidikan yang pada masa ini untuk kemasukan ke universiti menyaksikan bilangan wanita melebihi lelaki.

“Bagaimanapun, dalam tenaga buruh, penyertaan tenaga buruh wanita secara relatifnya kekal rendah iaitu 55.7 peratus berbanding tenaga buruh lelaki sebanyak 82.6 peratus, terutamanya disebabkan wanita meninggalkan pekerjaan untuk menjaga keluarga,” katanya.

Bagi menyokong ibu-ibu yang bekerja, beliau berkata Bajet 2023 telah mencadangkan pelepasan cukai RM3,000 untuk perbelanjaan penjagaan anak dan juga pengecualian cukai ke atas pendapatan untuk wanita yang kembali bekerja selepas tempoh berehat.

Tengku Zafrul turut menekankan pentadbiran cukai memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan kedudukan kewangan sesebuah negara adalah mencukupi untuk membiayai perbelanjaan yang dirancang kerajaan.

“Oleh itu, pentadbiran cukai mesti cepat menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan sosioekonomi dan norma baharu semasa menjalankan operasi cukai,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon