B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Johor bakal miliki produk susu sendiri

Johor bakal miliki produk susu sendiri

04 Mei 2021

Johor akan membangunkan sebuah kawasan industri baharu iaitu Jemaluang Dairy Valley di Mersing bagi mengeluarkan produk susu segar, kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata, syarikat kerajaan negeri Johor Corporation (JCorp) telah dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti rakan strategik bagi melabur dalam projek itu yang dijangka melibatkan kos pelaburan sekurang-kurangnya RM100 juta.

Katanya, kerajaan pusat melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula akan melabur sebanyak RM70 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan itu.

“Nilai RM100 juta itu adalah satu pelaburan minimum berdasarkan infrastruktur bernilai RM70 juta yang dibangunkan oleh kerajaan pusat melalui ECERDC untuk kawasan tersebut.

“Kita menjangka kerja-kerja di tapak projek berkeluasan 275.18 hektar (680 ekar) ini akan bermula dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah United Kotak Bhd 2 di Kawasan Perindustrian SME, Bandar Indahpura, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, dengan pelaburan baharu itu, Johor diharap dapat tampil dengan produk susu segar sendiri yang setanding atau lebih baik daripada produk sedia ada di pasaran seperti Farm Fresh yang merupakan hasil kerjasama antara Khazanah Nasional dan Holstein Milk Company.

“Selain itu, ia (pelaburan) juga akan melahirkan seramai 20 penternak ladang satelit baharu bagi memberikan impak ekonomi yang lebih luas bukan hanya di Mersing malah meliputi daerah Kota Tinggi dan Pasir Gudang,” katanya.

Sementara itu, Hasni menjelaskan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ekonomi Johor bertambah baik walaupun mencatatkan penurunan pelaburan sebanyak RM4.67 bilion pada tahun lepas berbanding RM11.45 bilion pada 2019.

Katanya, keyakinan itu disokong oleh beberapa indikasi antaranya kecenderungan sebuah syarikat teknologi kewangan untuk membuat pelaburan di Iskandar Malaysia dan minat pemaju projek Forest City untuk mengembangkan infrastrukur digital mereka di tapak projek sedia ada bagi membolehkan kawasan itu menjadi sebuah hab digital.

“Ini merupakan petunjuk bahawa Johor akan terus menjadi negeri yang strategik dan negeri pilihan oleh pelbagai pelabur.

“Oleh itu, di peringkat negeri, kami akan terus meningkatkan perkhidmatan kami berikutan kami yakin bahawa pelaburan yang konsisten bukan sahaja memberi manfaat kepada industri tetapi juga kepada ekonomi Johor secara keseluruhannya,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X