B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia antara negara paling mesra dagangan di dunia

Malaysia antara negara paling mesra dagangan di dunia

03 Mei 2021

Malaysia antara negara paling mesra perdagangan di dunia dengan mengeksport rangkaian produk serta perkhidmatan yang kompetitif ke lebih 120 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut menyifatkan negara ini sebagai antara komponen utama dalam rantaian bekalan global.

Katanya, pada 2019, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara dagangan ke-25 dunia selain tersenarai sebagai pengeksport dan pengimport terbesar ke-26 oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Pencapaian itu selari dengan penekanan Malaysia yang sentiasa memastikan agar seiringan dengan kepesatan transformasi teknologi dalam perdagangan dan sektor kewangan global.

“Pada hari ini, Malaysia mampu menjalankan perniagaan secara berkesan dan lancar dalam aspek ekonomi (berasaskan) pengetahuan serta ekonomi digital,” katanya.

Menurut MATRADE, syarikat elektrikal dan elektronik (E&E) tempatan merupakan peneraju penggiat sektor itu di peringkat global dengan sejumlah besar eksport berkaitan disumbangkan oleh peranti semikonduktor, litar bersepadu (IC) selain transistor dan injap (elektronik).

Selain itu, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga antara sektor penting bagi eksport Malaysia.

Eksport lain termasuk sektor kandungan digital, produksi seni permainan dan pelbagai aspek pengeluaran audio visual industri filem dan komputer.

“Malaysia juga adalah pengeluar terbesar dandang di Asia Tenggara dengan kemampuan pembuatan serta membekalkan dandang bergred tinggi yang diterima di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga diiktiraf sebagai antara industri kimia paling maju di dunia menerusi bekalan pelbagai produk termasuk polimer etilena, metanol dan poliester tepu.

Tambah MATRADE, sektor pembinaan dan perkhidmatan profesional negara ini juga mampu menjadi penggiat global menerusi kejayaan menyiapkan pelbagai projek di luar negara.

Di samping itu, industri aeroangkasa Malaysia turut menunjukkan potensi pertumbuhan besar, termasuk dari segi sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kejuruteraan mesin dan reka bentuk.

Industri minyak dan gas negara tidak terkecuali yang menyaksikan Malaysia antara paling dinamik di rantau ini, termasuk membabitkan penawaran perkhidmatan khusus.

Malaysia juga merupakan peneraju dunia dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabot dengan lebih 80 peratus pengeluarannya dieksport ke lebih 160 negara.

Pencapaian lain adalah kemampuan Malaysia sebagai pelopor sektor halal dengan kepakaran meluas dalam piawaian berkaitan serta menjadi satu industri yang diperakui oleh badan dunia dan multinasional.

“Malaysia juga cemerlang dalam sektor makanan dengan kategori eksport terbesar adalah produk makanan dan penyediaanya.

“Bidang eksport utama lain Malaysia yang tidak kurang pentingnya adalah industri fesyen, perkhidmatan penjagaan kesihatan serta francais,” tambah MATRADE.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon