B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johan Holdings cadang labur lebih RM600 juta dalam pembuatan sarung tangan

Johan Holdings cadang labur lebih RM600 juta dalam pembuatan sarung tangan

29 Mac 2021

Johan Holdings Bhd bercadang untuk melaksanakan pempelbagaian dengan menceburi pembuatan sarung tangan, yang dijangka melibatkan perbelanjaan modal kira-kira RM679.5 juta termasuk kos pembelian tanah dan pembinaan kilang.

Syarikat yang menjalankan perniagaan perkhidmatan hospitaliti dan kad itu menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, Dynacare Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian untuk membeli sebidang tanah perindustrian berukuran 71,980 meter di Manjung, Perak pada harga tunai RM27.3 juta, pada Isnin.

Johan Holdings menambah tanah itu, yang menempatkan lima kilang dan bangunan lain di atasnya, telah dikhususkan  sebagai lokasi untuk kilang pembuatan sarung tangannya.

“Rancangan bagi perniagaan sarung tangan ini melibatkan pemasangan dan pengoperasian 42 barisan pengeluaran dalam tempoh 24 bulan akan datang untuk membuat sarung tangan pemeriksaan dan pembedahan, yang diunjurkan dapat mencapai kapasiti pengeluaran kira-kira 12 bilion sarung tangan setahun,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Syarikat itu menganggarkan komitmen kewangan tambahan kira-kira RM652.2 juta diperlukan untuk membina kilang dan menjalankan operasi perniagaan sarung tangan.

Johan Holdings menjelaskan operasi komersial barisan pengeluaran pertama dijangka bermula Ogos tahun ini, dengan keseluruhan enam barisan pengeluaran akan beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun.

Sebanyak 36 barisan pengeluaran lagi akan beroperasi secara berperingkat pada 2022 dan 2023, menurutnya.

Ini merupakan sebahagian usaha pempelbagaian yang dicadangkan syarikat untuk merangkumi pembuatan, penjualan dan pengedaran sarung tangan termasuk peralatan pelindungan  peribadi dan produk berkaitan lain, produk farmaseutikal dan perubatan, peralatan dan perkhidmatan, selain aktiviti huluan dan hiliran berkaitan.

Johan Holdings mengatakan lembaga pengarahnya telah mengenal pasti perniagaan sarung tangan sebagai segmen perniagaan baharu untuk memperluas aliran perolehan dan pendapatan, susulan syarikat menanggung kerugian sejak tiga tahun kewangan terakhir.

Syarikat itu juga mencadangkan terbitan hak sebanyak 389.34 juta saham berasaskan satu saham untuk setiap dua saham Johan sedia ada, bersama dengan waran boleh pisah bebas berasaskan satu waran bagi setiap satu saham hak yang dilanggan, pada harga terbitan 10 sen sesaham.

Menurutnya, hasil kasar yang dijangka mencecah sehingga RM38.93 juta akan digunakan untuk membiayai perniagaan sarung tangan dan perbelanjaan lain.

Syarikat itu turut memberikan tawaran kepada George Kent (Malaysia) Bhd, di mana Pengerusi dan Ketua Ekesekutifnya Tan Sri Tan Kay Hock ialah pemegang saham utama, untuk melanggan 40 peratus kepentingan ekuiti dalam Dynacare pada harga RM40 juta, dengan Johan Holdings mengekalkan baki kepentingan sebanyak 60 peratus.

Ia menambah, George Kent hanya akan menjadi rakan kongsi ekuiti dan segala urusan Dynacare dengan Johan dan/atau George Kent akan sentiasa dilakukan secara saksama.

“George Kent telah menerima tawaran itu yang tertakluk kepada kelulusan kedua-dua pemegang saham, dengan Dynacare akan memberikan hak kepada George Kent untuk membina kilang pembuatan dan pemasangan jentera bagi perniagaan sarung tangan di tanah tersebut pada nilai kontrak RM624.1 juta,” jelasnya.

Johan Holdings menjelaskan lembaga pengarah yakin terhadap permintaan sarung tangan yang berpotensi berdasarkan prospek industri sarung tangan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon