B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Portal InvestMalaysia MIDA kini boleh dilayari — Azmin

Portal InvestMalaysia MIDA kini boleh dilayari — Azmin

29 Mac 2021

Portal InvestMalaysia yang juga platform serahan permohonan dalam talian kendalian Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kini boleh dilayari bagi kemudahan orang ramai, termasuk pelabur.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Portal InvestMalaysia itu juga dapat membantu memenuhi jangkaan pelabur menerusi proses automasi secara optimum dan merangkumi penawanan dan analisis data secara lancar.

Menurutnya, sejajar usaha Malaysia menyesuaikan diri dengan persekitaran norma baharu, peranan MIDA juga terbukti menjadi lebih penting untuk membantu kemajuan perniagaan serta mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi negara ini.

“Kita boleh menjangkakan penilaian yang lebih cekap, proses kelulusan secara automasi dan perkhongsian maklumat yang lebih mudah dengan hanya satu titik permulaan atau kemasukan tunggal.

“Selain itu, kita juga boleh mendapatkan kemas kini pelaburan secara langsung, kebolehlihatan projek pelaburan dalam masa nyata, membuat keputusan secara lebih bermaklumat dan pelaporan masa nyata,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Azmin juga menyifatkan pangkalan data berpusat itu akan memudahkan penghasilan analisis dengan lebih pantas dan tepat menerusi papan pemuka automatik yang membolehkan fungsi pemantauan petunjuk prestasi utama yang dipertingkat dalam memenuhi piagam pelanggan.

Sementara itu, MIDA berkata portal tersebut yang beroperasi sejak 26 Mac, 2021, bertumpu kepada usaha mentransformasi peranan teras perniagaan agensi itu bagi mempertingkat kecekapan dan produktiviti dengan menerimaguna satu sistem teknologi bersepadu untuk mempercepat proses permohonan dan kelulusan.

Ini juga, pada masa sama, turut membolehkan syarikat mempercepat pelaksanaan projek masing-masing.

“Setakat ini, platform digital itu menawarkan 10 modul bagi serahan permohonan dalam talian dan berperanan sebagai titik kemasukan tunggal bagi pihak berkepentingan menerusi laman mikro Investmalaysia.mida.gov.my,” katanya.

Antara modul yang tersedia adalah  lesen pengilangan yang ditambah baik, surat pengecualian daripada Lesen Pengilang, insentif yang dipertingkat, jawatan ekspatriat aau pegawai dagang asing dan pejabat perwakilan/serantau, pengecualian duti import/cukai jualan, surat pengesahan MIDA serta jualan domestik.

“MIDA telah mewujudkan satu unit perkhidmatan pelanggan khusus (CSU) yang merangkumi kumpulan verikasi bagi menerima permohonan pelanggan serta satu pasukan khas dengan pengalaman berkaitan pelaburan untuk menjawab pertanyaan pelangaan berkaitan permohonan, kemudahan dan pelaksanaan projek.

“CSU itu dijangka meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem dan memberi pengalaman lebih baik untuk syarikat, pengguna dalaman serta agensi luaran,” katanya.

MIDA berkata proses permohonan secara automasi dan menyeluruh itu akan membolehkan agensi itu menyasarkan aspek garis masa pemprosesan yang lebih singkat, menambah baik komitmen piagam pelanggan untuk pelabur dan melengkapkan matlamat transformasi digital bagi menyokong keperluan semasa dan masa depan industri.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon