B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jawatankuasa khas pantau pelaburan dari China diputuskan esok – PM Anwar

Jawatankuasa khas pantau pelaburan dari China diputuskan esok – PM Anwar

04 Apr 2023

Kabinet akan memutuskan pada Rabu berhubung keperluan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi memantau pelaburan dari China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mampu menyelenggarakan agar pelabur lebih yakin dengan keupayaan negara.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok dan langkah-langkah susulan, sama ada harus ada jawatankuasa khas atau tidak, akan kita putuskan esok.

“Tetapi, setakat ini, projek ini dipantau oleh MITI, MIDA dan MATRADE, yang saya rasa mampu menyelenggarakannya.

“Kerana, persiapan yang dibuat oleh Kementerian Luar, MITI dan para pegawai, sangat memuaskan, yang menyebabkan kita dapat mencapai prestasi diharapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanya mengenai hasil positif lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini, dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta manfaat yang rakyat Malaysia peroleh kelak.

Dalam soalan tambahannya, Fong membangkitkan mengenai penubuhan jawatankuasa khas untuk pantau pelaburan dari China.

Anwar berkata, dalam lawatan empat hari bermula 29 Mac hingga 1 April itu, tumpuan turut diberi kepada isu berkaitan kedudukan masyarakat Islam di negara itu.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan menyebut, dalam rangka lawatan itu, kita beri tumpuan juga kepada kedudukan masyarakat Islam di Beijing dan Hainan.

“Saya agak terkesan apabila Perdana Menteri China Li Qiang memberi jamuan makan malam dengan menghormati iftar dan menunggu sehingga waktu berbuka puasa bersama rombongan,” tambahnya.

Malaysia dijangka menerima rangsangan ekonomi yang besar hasil lawatan tersebut dengan komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China.

Ia adalah hasil daripada 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara perniagaan di Malaysia dan China pada 1 April lalu, dalam pelbagai bidang terutama teknologi hijau dan ekonomi digital.

Anwar sebelum ini menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua negara bersetuju untuk memantapkan dan membawa hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon