MN Holdings, DCS China bangun pusat data prestasi tinggi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MN Holdings, DCS China bangun pusat data prestasi tinggi

MN Holdings, DCS China bangun pusat data prestasi tinggi

03 Apr 2023

Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, MN Holdings Bhd (MN Holdings) bekerjasama dengan Shanghai DC-Science Co Ltd (DCS) China untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya di Malaysia.

Projek dengan anggaran nilai keseluruhan lebih AS$600 juta (RM2.65 bilion) menyaksikan MN Holdings muncul sebagai rakan kongsi Malaysia untuk DCS, di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd dan syarikat dari China itu dua hari lalu.

Projek pusat data itu adalah sebahagian daripada siri pelaburan langsung asing (FDI) yang dijamin untuk Malaysia sempena lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 30 Mac hingga 2 April lalu.

Merentasi tapak seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park, Johor, pusat data berprestasi tinggi itu adalah satu pencapaian penting bagi Malaysia.

Ia adalah lokasi pertama DCS di luar China, selepas membangunkan lebih daripada 300 pusat data di seluruh negara asalnya.

Di bawah perancangan semasa, utiliti untuk projek itu terdiri daripada beban kuasa 120MW dengan bekalan kuasa dwi untuk menyokong kemudahan 12,000 rak. Purata bekalan air harian dijangka kira-kira 5,000 tan, manakala infrastruktur akses rangkaian akan tersedia.

Fasa 1 projek itu dijadualkan untuk memulakan pembangunan tahun ini dan akan memulakan operasi pada separuh pertama tahun hadapan.

Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay, berkata syarikat itu mewakili Malaysia sebagai rakan kongsi pilihan DCS dan akan memastikan projek sulung penyedia perkhidmatan pusat data itu berjaya dilancarkan di sini.

“Perkongsian itu adalah bukti kepakaran teras MN Holdings dalam pembinaan utiliti bawah tanah, serta penyelesaian kejuruteraan substesen, yang merangkumi pemasangan kabel penghantaran elektrik, saluran paip pembetungan dan saliran, serta pembinaan dan pentauliahan loji.

“Ia menandakan kepelbagaian lebih jauh asas pelanggan MN Holdings, berikutan kejayaannya dalam memanfaatkan penyertaan yang lebih besar dalam projek solar berskala besar (LSS) dan kerja lain yang berkaitan dengan pusat data dan industri semikonduktor di sini.

“Kami berbangga untuk mengambil bahagian dalam pengembangan DCS di Malaysia. Perkembangan ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, dan akan menjadi rangsangan untuk bakat tempatan yang menyokong industri pusat data yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Siong Hay berkata, kerjasama dengan DCS akan dapat mengukuhkan lagi pengetahuan teknikal MN Holdings dalam pembinaan dan kejuruteraan pusat data.

“Memandangkan Malaysia melihat lebih banyak pelaburan daripada domestik dan antarabangsa, kami bersedia untuk menawarkan kepakaran kami dalam pembangunan infrastruktur uli bawah tanah dan kejuruteraan,” katanya.

Perkongsian terbaharu dengan DCS akan memberikan rangsangan kepada kontrak dalam tangan hadapan MN Holdings yang berjumlah RM325.9 juta pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, MN Holdings akan terus meneroka peluang dalam kalangan pelanggan tempatan dan antarabangsa di sini, memanfaatkan kepakaran terasnya dalam utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen untuk menyokong pertumbuhan negara dalam pendigitalan, tenaga dan telekomunikasi,” katanya.

Butiran mengenai skop kerja akan dimuktamadkan selepas menandatangani perjanjian tambahan antara DCS dan MN Holdings, kata Siong Hay.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon