B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Iskandar Puteri bakal jadi hab utama pembangunan bakat, teknologi digital

Iskandar Puteri bakal jadi hab utama pembangunan bakat, teknologi digital

23 Nov 2021

Peruntukan kerajaan negeri di bawah Agenda Johor Digital menerusi Belanjawan Johor 2022  bakal meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab utama pembangunan teknologi dron dan robot, inovasi, pembangunan bakat dan teknologi digital.

Presiden dan Ketua Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata peruntukan tersebut akan terus memacu pembangunan hab digital dan bakat di Iskandar Puteri serta menarik pelaburan berimpak tinggi dan bakat berkemahiran tinggi ke Johor.

“Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu untuk menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna bagi memastikan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dapat direncanakan dengan strategik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Belanjawan Johor 2022, beliau berkata IIB menyambut baik peruntukan RM2.3 juta untuk Young Drone Pilot Programme yang turut menyasarkan 10,000 peserta.

Dalam usaha untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem teknologi berasaskan IR4.0 dan menyokong Wawasan 2030 Johor, IIB turut melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) pada Oktober 2020, yang diharapkan dapat membawa ekonomi digital, perniagaan dan bakat baharu ke Iskandar Malaysia.

IIB turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang bakal disalurkan melalui insentif Digital Johor Startup Grant untuk syarikat baru bakal beroperasi di Medini Iskandar Malaysia.

“Sehingga 100 syarikat disasarkan untuk menerima geran ini dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadi pemacu pelaksanaan program komuniti di Common Ground Iskandar Space (CGIS) mulai Januari 2022 – ruang kerja bersama pertama di Johor.

“CGIS, yang menjurus ke arah membina komuniti “digitech”, menyediakan landasan untuk syarikat permulaan digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pinggir bandar Medini,” katanya.

Turut disambut baik ialah inisiatif pembangunan bakat dan teknologi digital di Johor dan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sebanyak RM4 juta yang dilaksanakan mengikut konsep keperluan tenaga kerja industri sektor ekonomi utama, kata Khairil Anwar.

Pada Ogos lepas, program Bakat Digital dan Teknologi Baru  Muncul  Johor (JDETT) telah dilancarkan bagi mengembang, memupuk dan melahirkan bakat menyokong sektor teknologi di wilayah Iskandar Puteri.

Menurut Khairil Anwar, inisiatif itu dilaksanakan bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui kerjasama kerajaan negeri Johor dan Persekutuan, selain disokong oleh industri, bakat, latihan dan rakan pembiayaan. Selain itu, inisiatif pembangunan modal insan oleh IIB iaitu Perantis Iskandar telah diwujudkan untuk mendidik dan membangunkan bakat teknikal di EduCity.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon