B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


VTL udara, darat rancak ekonomi negara

VTL udara, darat rancak ekonomi negara

25 Nov 2021

Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat secara serentak dengan VTL udara mulai Isnin ini, akan menjadi pencetus semula kerancakan ekonomi kedua-dua negara.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata Johor khususnya memberi tumpuan berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, akan mendapat manfaat daripada langkah berkenaan.

Katanya, persetujuan dicapai kedua-dua negara itu pastinya melegakan rakyatnya masing-masing terutama yang mempunyai keluarga di kedua-dua negara.

“Saya berpendapat pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 bagi kedua-dua negara, khususnya di Johor.

“Memandangkan Johor adalah jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi, apatah lagi republik itu adalah pelabur terbesar negeri ini sejak dahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Isnin lalu, Hasni dilaporkan berkata, Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura.

VTL darat dilaporkan akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara yang menggunakan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula Isnin ini.

Sementara itu, Hasni berkata, pelaksanaan VTL darat dan udara itu juga membawa sinar kepada rakyat kedua-dua negara untuk menyambung dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang ‘terputus’ seketika akibat pandemik COVID-19.

“Menerusi pelaksanaan VTL ini, suami atau isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga tersayang, anak-anak dapat kembali ke pangkuan ibu bapa dan rakyat kedua-dua negara sudah boleh mengunjungi saudara mara masing-masing.

“Yang penting, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali semula ke tanah air sudah berakhir,” katanya.

Hasni berkata, dalam menjayakan inisiatif berkenaan, kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi peringkat negeri dan persekutuan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam.

“Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkasa bagi mengelak tercetus semula penularan COVID-19.

“Kedua-dua negara tidak mampu lagi untuk menutup semula pintu sempadan kerana saling bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X