B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IHPR bagi pengeluaran tempatan naik 11.5 peratus pada Jun 2021

IHPR bagi pengeluaran tempatan naik 11.5 peratus pada Jun 2021

29 Jul 2021

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) untuk pengeluaran tempatan naik 11.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021, menjadikan lima bulan berturut-turut mencatatkan aliran menaik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks perlombongan meningkat 64.4 peratus disebabkan harga gas asli yang lebih tinggi serta kenaikan yang berterusan bagi minyak mentah.

Beliau berkata indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 29.8 peratus berikutan harga yang lebih rendah bagi minyak sawit mentah dan ternakan.

“Di samping itu, indeks pembuatan yang dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan turut menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 6.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi indeks utiliti, katanya bekalan air naik 1.6 peratus serta bekalan elektrik dan gas turun 0.2 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir berkata IHPR untuk pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan marginal 0.2 peratus pada Jun 2021 berbanding 1.0 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks perlombongan (8.2 peratus) dan pembuatan (0.8 peratus).

Bagaimanapun, pertanian, perhutanan dan perikanan; bekalan elektrik dan gas serta bekalan air, masing-masing mencatatkan penurunan 10.5 peratus, 0.8 peratus dan 0.2 peratus.

Sementara itu, katanya IHPR untuk pengeluaran tempatan bagi suku kedua 2021 naik 11.3 peratus kepada 111.3 berbanding 100.0 pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

Mohd Uzir berkata pertumbuhan ini disebabkan kenaikan indeks perlombongan (74.0 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (46.0 peratus), pembuatan (5.0 peratus) dan bekalan air (1.4 peratus), manakala indeks bekalan elektrik dan gas mencatatkan penurunan 0.3 peratus.

Bagi perbandingan suku tahunan, katanya IHPR untuk pengeluaran tempatan turun 2.6 peratus berbanding 5.1 peratus pada suku pertama 2021.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan IHPR untuk pengeluaran tempatan bagi semua peringkat pemprosesan mencatatkan kenaikan harga pada Jun 2021.

“Indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 39.2 peratus pada Jun 2021 berbanding 53.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Katanya indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 9.0 peratus manakala indeks barang siap meningkat 0.3 peratus. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon