B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tahap keyakinan pelabur tidak terjejas – Tengku Zafrul

Tahap keyakinan pelabur tidak terjejas – Tengku Zafrul

28 Jul 2021

Tahap keyakinan pelabur tidak terjejas walaupun ketika persekitaran mencabar akibat COVID-19 di Malaysia, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, pelabur asing melihat prospek pemulihan ekonomi negara yang kekal kukuh ketika ini.

“Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P (S&P Global Ratings) dan juga Moody’s (Moody’s Investors Service) masing-masing telah memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Minggu lalu, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.

“Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’. Asas ekonomi negara masih teguh.

“Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modalnya masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam,” katanya dalam laporan LAKSANA ke-63, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa.

“Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada 2018, manakala di sebalik polemik politik pada tahun 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, pelabur asing juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan pada kekuatan institusi negara, di mana FDI telah menunjukkan trend peningkatan.

“Untuk suku pertama 2021, negara mencatat aliran masuk FDI sebanyak RM9.1 bilion, peningkatan sebanyak 33.8 peratus tahun ke tahun daripada RM6.8 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lalu,” katanya.

Untuk rekod, beliau menjelaskan, Malaysia juga terus menerima pelbagai pelaburan asing, berjumlah hampir RM60 bilion, dari syarikat antarabangsa yang terkemuka baru-baru ini.

“Ini termasuklah pelaburan dari Microsoft berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion); Risen Energy Co Ltd bernilai RM42.2 bilion; pelaburan GIC Pte Ltd dalam Sunway Healthcare Holdings sebanyak RM750 juta; pelaburan RM8.6 bilion oleh AT&S; dan pelaburan sebanyak RM4.2 bilion oleh SK Nexilis dari Korea Selatan,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan, jumlah perdagangan Malaysia juga telah melepasi angka RM1 trilion dalam masa enam bulan, tempoh paling singkat pernah dicatatkan bagi mencapai penanda aras itu.

“Bagi separuh pertama tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia berjumlah RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Eksport melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion. Ini menjadi nilai separuh pertama yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import.

“Lebihan dagangan juga melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon