B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


GE, Edra umum permulaan operasi komersial loji
kuasa di Melaka

GE, Edra umum permulaan operasi komersial loji
kuasa di Melaka

05 Apr 2022

General Electric (GE) dan Edra Energy Sdn Bhd (Edra) hari ini mengumumkan permulaan operasi komersial loji kuasa Edra di Alor Gajah, Melaka.

Dikuasakan oleh teknologi GE, loji kuasa kitaran gabungan terbesar di dalam negara menambah lebih daripada 2.2 gigawatt (GW) ke dalam grid nasional, dan ia bersamaan dengan anggaran jumlah yang diperlukan untuk menguasakan sehingga 10% daripada permintaan semasa negara.

Tambahan lagi, GE membekalkan Edra dengan sebuah penyelesaian holistik, termasuk alat loji kuasa teras dan perjanjian perkhidmatan untuk mengurus semua aspek kitaran hayat projek.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif GE Gas Power Asia, Ramesh Singaram berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menyokong Edra dalam pembekalan elektrik yang setara dengan keperluan untuk beberapa juta isi rumah Malaysia.

“Teknologi kami telah terbukti secara global dan ia telah mencapai tahap rekod kecekapan untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga elektrik yang semakin meningkat dengan lebih baik dan matlamat penjanaan kuasa dan kemampanan kerajaan Malaysia yang tinggi.

“Teknologi H-Class kami, ditambah dengan penyelesaian digital dan kepakaran perkhidmatan, akan membantu menjadikan loji kuasa baharu Edra sebagai satu daripada loji kuasa yang paling cekap dan mampan di rantau ini. Tambahan lagi, projek ini mempunyai kesan limpahan yang besar kepada ekonomi tempatan, melalui penjanaan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan, terutamanya kepada komuniti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Loji baharu tersebut terdiri daripada tiga blok penjanaan yang mampu menjana lebih daripada 745 MW dari setiap blok, setiap daripadanya merangkumi sebuah turbin gas 9HA.02 GE, turbin wap STFD650, penjana W88 dan Penjana Wap Pemulihan Haba (HRSG).

Sistem kawalan bersepadu Mark* VIe GE akan menyediakan kawalan penjana turbin gas dan keterlihatan prestasi serta kit pengurusan prestasi aset (APM) bagi penyelesaian digital oleh GE Digital akan membantu untuk menjadikan operasi loji kuasa Melaka lebih selamat, senang diramal dan dipercayai sambil memastikan prestasi yang lebih baik pada kos mampan yang lebih rendah.

Tambahan lagi, sebagai sebahagian daripada perjanjian perkhidmatan itu, alat janaan kuasa di Alor Gajah merupakan sebahagian daripada armada yang dipantau oleh Pusat Pemantauan & Diagnostik (M&D) GE di Kuala Lumpur.

GE merupakan pemain utama dalam penjanaan kuasa di Malaysia sejak tahun 1975. Turbin gas GE (kitaran biasa dan gabungan) mempunyai kapasiti untuk menjana lebih daripada 7 GW elektrik dengan pangkalan terpasang yang mewakili lebih daripada 65% daripada jumlah kapasiti terpasang di negara ini.

Projek ini terus mengukuhkan hubungan yang terjalin lama antara GE dan Edra, yang dibina sejak 5 tahun yang lalu. GE telah menyelenggara dan memeriksa turbin gas syarikat tersebut yang dipasang di loji kuasa Telok Gong 1, Tanjong Kling dan Kuala Langat.

Secara kolektif, kemudahan-kemudahan ini mempunyai gabungan kapasiti keluaran sebanyak 1.4  GW yang dikuasakan oleh teknologi E-class GE.

Sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat ini untuk menyokong keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat, pada tahun lepas, GE mengumumkan permulaan operasi komersial Loji Kuasa Track 4A Southern Power Generation, sebuah loji kuasa kitaran gabungan gas 1,440-megawat di Pasir Gudang, Johor.

Sumber: DagangNews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon