FMM sambut baik pengukuhan hubungan pelaburan dengan AS melalui IPEF - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FMM sambut baik pengukuhan hubungan pelaburan dengan AS melalui IPEF

FMM sambut baik pengukuhan hubungan pelaburan dengan AS melalui IPEF

25 Mei 2022

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pelancaran Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) yang diterajui Amerika Syarikat (AS) termasuk Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai permulaan yang baik untuk penglibatan ekonomi yang formal dengan AS. 

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata persekutuan itu mengalu-alukan pengumuman kerajaan AS mengenai IPEF pada 23 Mei, yang melibatkan 13 negara anggota.

“Walaupun dikesali apabila AS menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 2017, kami yakin IPEF merupakan permulaan yang baik untuk libat urus ekonomi yang formal dengan AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh berkata pengilang Malaysia boleh mengoptimumkan manfaat strategik dan ekonomi daripada rangka kerja tersebut untuk menjadikan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan yang menjadi pilihan dan destinasi pelaburan.

 Katanya ia meskipun IPEF tidak dijangkakan sebagai perjanjian perdagangan untuk menggalakkan akses pasaran yang lebih besar ke pasaran AS, namun, akan tertumpu untuk merundingkan piawaian serantau bersama berkaitan daya tahan rantaian bekalan, tenaga bersih dan penyahkarbonan, ekonomi digital, piawaian buruh, ketelusan dan amalan kawal selia.

Persekutuan itu turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia berikutan mencapai kemajuan yang besar ke arah memperkukuh rantaian dua hala dengan AS ketika misi galakan perdagangan dan pelaburan ke AS baru-baru ini, diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut FMM, Malaysia berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari AS berikutan usaha kukuh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Pelaburan baharu berkualiti tinggi iaitu dalam sektor pembuatan, termasuk elektrik dan elektronik dan peranti perubatan, bukan sahaja melahirkan pekerjaan, malah, membantu membangunkan pengeluar Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan mereka melalui pemindahan teknologi dalam pengeluaran dan pengagihan dan menaik taraf industri,” kata Soh.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon