B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sudah tiba masanya Malaysia melabur, tingkat hubungan dagangan dengan Afrika – Duta

Sudah tiba masanya Malaysia melabur, tingkat hubungan dagangan dengan Afrika – Duta

25 Mei 2022

Malaysia disaran menumpukan perhatian di Afrika untuk menjalinkan lebih banyak hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan serta pendidikan memandangkan benua kedua terbesar dunia itu berpotensi besar dan menawarkan pelbagai peluang untuk manfaat bersama.

Duta Somalia ke Malaysia yang juga Dekan Ketua Misi Afrika di Malaysia, Abukar Abdi Osman berkata perubahan pantas geopolitik global berikutan konflik di Ukraine, memaksa banyak negara Eropah beralih ke benua Afrika untuk meneroka sumber asli serta minyak dan gas.

“Inilah masa yang sesuai…untuk meneroka peluang ekonomi di Afrika. Dulu…Malaysia telah ketinggalan kerana lambat merebut peluang di Afrika, tetapi banyak peluang masih ada (untuk Malaysia dan negara lain) dan itulah sebabnya negara Eropah beri tumpuan semula kepada Afrika sekarang,” katanya.

Bekas menteri persekutuan Somalia itu berkata demikian ketika ditemu bual Bernama sempena Hari Afrika pada 25 Mei.

Abukar Abdi berkata satu ketika dulu, syarikat dan ahli perniagaan Malaysia agak aktif memasuki Afrika, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kurang kemajuan dicapai dari segi menjalankan perniagaan dengan Afrika.

Menurut Abukar Abdi terdapat banyak persamaan dikongsi Afrika dengan Malaysia antaranya – iklim, makanan dan gaya hidup, serta keanggotaan dalam kumpulan Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Semua itu akan memudahkan rakyat dan syarikat Malaysia meneroka potensi besar dan membuat keputusan yang tepat untuk menjalankan perniagaan di Afrika,” katanya.

Selain itu katanya, Afrika mempunyai tenaga buruh murah, tenaga kerja muda berpendidikan tinggi dan berkemahiran serta kelas pertengahan yang semakin berkembang.

Sementara Malaysia pula mempunyai sumber kewangan, teknologi dan pengetahuan serta pengalaman luas dalam pembangunan perindustrian.

“Jika dipadankan dengan cara yang betul ia boleh menghasilkan situasi sama menang bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Sebagai contoh, syarikat kereta nasional Malaysia boleh meneroka peluang untuk membina kilang di Afrika.

Afrika dengan kira-kira 1.3 bilion penduduk mempunyai pasaran pengguna yang semakin luas dan dianggarkan benua itu mempunyai kira-kira 170 juta orang terdiri kelas pertengahan.

Beliau berkata industri penerbangan Malaysia perlu merebut peluang ini dengan meneroka kemungkinan memulakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke bandar-bandar di Afrika.

“…Marilah melawat Afrika dan meneroka apa yang ditawarkannya, bukan sahaja tarikan pelancongan tetapi juga peluang perdagangan dan pelaburan.

“Kami mengalu-alukan syarikat awam dan swasta Malaysia dengan tangan terbuka,” katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan Malaysia juga boleh mendapat manfaat daripada Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA).

AfCFTA menghubungkan 1.3 bilion orang di seluruh Afrika dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$3.4 trilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon