B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FMM: Pelaksanaan CPTPP tepat pada masanya bagi pulihkan perniagaan Malaysia

FMM: Pelaksanaan CPTPP tepat pada masanya bagi pulihkan perniagaan Malaysia

06 Okt 2022

Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dinanti-nantikan, kini tepat pada masa untuk membolehkan perniagaan Malaysia memanfaatkannya sebagai satu lagi alat pemulihan dalam perdagangan, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya memuji Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana usaha gigihnya dalam menyelesaikan prosedur domestik berikutan mandat daripada Kabinet untuk penyerahan instrumen ratifikasi perjanjian perdagangan itu kepada New Zealand sebagai depositari CPTPP pada 30 Sept, 2022.

“Adalah penting untuk menstabilkan aktiviti pembuatan dan membina semula ketersambungan rantaian bekalan di rantau ini sambil menjamin pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Soh berkata, FMM percaya bahawa penyertaan Malaysia dengan menjadi negara kesembilan melaksanakan perjanjian itu, pastinya akan memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia dari segi akses keutamaan kepada pasaran CPTPP yang semakin berkembang.

“China, Ecuador dan Taiwan telah mengemukakan permohonan mereka untuk menjadi ahli CPTPP tahun lalu manakala United Kingdom (UK) kini dalam proses rundingan untuk menyertai CPTPP.

“Dengan penyertaan China dan UK, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus berkembang sebanyak 4.2 peratus pada 2030,” katanya.

Menurut kajian analisis kos faedah oleh MITI pada 25 Julai, 2022, Malaysia dijangka mencatat KDNK yang lebih tinggi sebanyak US$56.5 bilion (US$1=RM4.64) sepanjang tempoh 2021-2030.

Bagi Malaysia, CPTPP menawarkan peluang akses pasaran untuk tiga pasaran baharu, iaitu Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan negara ini.

“Berdasarkan data Bank Dunia pada 2021, ketiga-tiga pasaran baharu itu secara kolektif mewakili populasi lebih 200 juta dengan gabungan KDNK lebih US$3.5 trilion — 9.4 kali lebih besar daripada ekonomi Malaysia,” jelas Soh.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon