Ekonomi Global Tumbuh 2.9 Peratus Pada 2023
07 Okt 2022
Ekonomi global dijangka menyederhana sebanyak 2.9 peratus pada 2023 berikutan pertumbuhan ekonomi maju dan negara yang berkembang pesat dan sedang membangun (EMDE) yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Pertumbuhan ekonomi maju dijangka terus menyederhana kepada 1.4 peratus, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.
Ekonomi Amerika Syarikat (AS) diunjur mencatat pertumbuhan sebanyak satu peratus disebabkan oleh penggunaan swasta yang lemah dengan inflasi terus melebihi sasaran dua peratus yang ditetapkan Rizab Persekutuan AS.
“Pertumbuhan di kawasan euro juga dijangka menyederhana kepada 1.2 peratus berikutan bekalan tenaga yang terhad akan terus menjejaskan aktiviti ekonomi,” menurut MoF.
Pertumbuhan EMDE diunjur meningkat secara marginal sebanyak 3.9 peratus pada 2023 disokong oleh peningkatan penggunaan swasta dan eksport.
Ekonomi China pula dijangka berkembang 4.6 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh berikutan rangsangan fiskal.
Sementara itu, pertumbuhan ASEAN-5 diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus disokong oleh peningkatan berterusan dalam penggunaan domestik dan pelaburan swasta.
Pada 2022, pertumbuhan global dijangka berkembang 3.2 peratus, yang mana sebahagian besar disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Asia Pasifik walaupun terdapat peningkatan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan dan keadaan kewangan yang mencabar.
MoF berkata bagi pertumbuhan global, ia diunjur mencatat 3.2 peratus pada 2023 berikutan permintaan yang lebih lemah, sementara perdagangan dalam ekonomi maju diunjur pada 3.2 peratus manakala EMDE 3.3 peratus.
Pertumbuhan eksport dan import dalam ekonomi maju dijangka mencatat 4.7 peratus dan 4.5 peratus berikutan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan.
“Manakala eksport dan import dalam EMDE juga dijangka berkembang kepada 3.6 peratus dan 4.8 peratus,” katanya.
MoF berkata perdagangan dunia dijangka berkembang sederhana kepada 4.1 peratus pada 2022 berikutan konflik geopolitik berpanjangan di Eropah Timur dan langkah penutupan sektor ekonomi di China bagi mengekang COVID-19.
Pada tahun ini, ekonomi maju dijangka merekodkan pertumbuhan eksport sebanyak lima peratus dan 6.1 peratus, sementara perdagangan dalam EMDE dijangka menyederhana dengan kadar pertumbuhan eksport dan import yang lebih rendah iaitu 4.1 peratus dan 3.9 peratus.
Bagi inflasi global pula, ia diunjur pada 5.7 peratus pada 2023 disokong oleh kejatuhan harga komoditi termasuk minyak mentah, manakala kadar inflasi dalam ekonomi maju dijangka merekodkan 3.3 peratus dan EMDE 7.3 peratus.
“Inflasi global diunjur mencatat 8.3 peratus tahun ini sejajar dengan harga makanan dan tenaga yang lebih tinggi.
“Kadar inflasi dijangka merekodkan 6.6 peratus dalam ekonomi maju dan 9.5 peratus dalam EMDE,” menurut kementerian kewangan.
Sumber: Bernama