B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia muktamad ratifikasi CPTPP

Malaysia muktamad ratifikasi CPTPP

05 Okt 2022

Kabinet bersetuju meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

MITI dalam satu kenyataan, berkata selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September kalau.

“Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara ke-9 telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA)yang dimeterai pada 8 Mac 2018,” katanya.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.

Menurut MITI, ratifikasi CPTPP hadir selepas berapa tahun melalui proses perbincangan terperinci, perundingan dan penilaian teliti oleh kerajaan.

Malah, katanya, berdasarkan penemuan Analisis Faedah Kos (CBA), manfaat diperoleh daripada CPTPP adalah jauh melebihi sebarang kos yang mungkin timbul daripada pelaksanaan perjanjian itu.

“CBA mengunjurkan jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat kepada AS$655.9 bilion (RM3.05 trilion)pada 2030, melalui penyertaan Malaysia dalam CPTPP.

“Penemuan CBA juga menunjukkan bahawa eksport Malaysia diunjurkan mencecah AS$354.7 bilion (RM1.65 trilion) pada 2030, dengan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan kukuh pada 8.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun yang sama,” katanya.

MITI berkata, dengan pengesahan dan pelaksanaan CPTPP, Malaysia dijangka terus unggul sebagai ekonomi perdagangan global.

“CPTPP juga meluaskan akses Malaysia kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak dilindungi oleh mana-mana FTA sedia ada. Ia menyediakan akses kepada rangkaian lebih luas bahan mentah berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif, selain meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

“Pada masa yang sama, CPTPP menawarkan bantuan teknikal dan program pembinaan kapasiti yang bertujuan untuk menambah baik dan membangunkan keupayaan sektor tempatan dalam bidang perindustrian utama seperti automotif, elektrik dan elektronik (E&E), bahan kimia, peralatan optik dan saintifik serta peranti perubatan,” katanya.

Di bawah CPTPP, menjelang 1 Januari 2033, hampir 100 peratus eksport Malaysia ke semua negara CPTPP akan menikmati manfaat bebas cukai.

Apabila CPTPP mula berkuat kuasa, semua eksport Malaysia ke Australia dan Singapura tidak akan dikenakan sebarang duti.

Setahun selepas pelaksanaannya iaitu 2024 dan 2029, semua produk Malaysia yang dieksport masing-masing ke New Zealand dan Kanada juga bebas cukai.

MITI menjelaskan, duti tinggi ke atas eksport utama Malaysia ke Kanada dan Mexico, yang kini sekitar antara 15 hingga 30 peratus, akan dihapuskan serta-merta.

“Pada asasnya bermakna pengeksport Malaysia akan menikmati manfaat bebas cukai ke atas produk seperti alat ganti dan komponen automotif, produk plastik, sarung tangan pembedahan, produk getah, tekstil dan pakaian, produk koko serta bahan makanan.

“Dalam sektor makanan dan minuman yang diproses, pengeksport Malaysia akan dapat mengembangkan perniagaan mereka ke Kanada, Mexico, Jepun dan Peru. Memandangkan duti semasa untuk sektor ini boleh meningkat kepada 313.5 peratus di Kanada, 158 peratus di Mexico, 52.5 peratus di Jepun dan 17 peratus di Peru, pengeksport Malaysia akan mendapat manfaat daripada pengurangan ketara dalam duti import, di bawah CPTPP,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon