B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma Jerman pilih Malaysia lokasi pusat kecekapan IT

Firma Jerman pilih Malaysia lokasi pusat kecekapan IT

09 Ogo 2021

Syarikat kaca multinasional Jerman, Schott AG memilih Malaysia untuk menubuhkan pusat kecekapan IT antarabangsa terbaharunya, Schott Asia IT Services Sdn Bhd (SAITS).

Penubuhan pusat kecekapan IT baharu itu mendapat sokongan penuh oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju transformasi digital di Malaysia.

Terletak di Kuala Lumpur, SAITS akan berperanan penting untuk Schott IT yang memberi fokus kepada menyatukan syarikat perkhidmatan IT yang ketika ini terletak di beberapa lokasi berasingan, di bawah satu bumbung.

Pada fasa permulaan, pusat kecekapan IT baharu itu akan membantu menguruskan aktiviti IT seperti pengurusan virtualisasi dan platform awan, perkhidmatan penyediaan rangkaian dan tempat kerja moden meliputi 45 kilang pembuatan dan tujuh unit perniagaan di seluruh dunia.

Dalam ucapannya di Malaysia Tech Month 2021 (MTM’21), Naib Presiden & Ketua Penyelesaian Maklumat Serantau Schott AG, Mirko Goetze, berkata kedudukan Malaysia yang strategik dari segi geografi iaitu terletak di tengah Asia adalah faktor utama syarikat berkenaan memilih untuk menubuhkan SAITS di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Malaysia adalah lokasi ideal dan memenuhi banyak syarat yang diperlukan oleh Schott terutama dari segi undang-undang IP dan privasi, tawaran dan kesetiaan pekerja, kemahiran bahasa Inggeris dan hubungan baik dengan budaya Barat.

Katanya, kepelbagaian budaya dan bahasa dalam kalangan tenaga kerja di negara ini adalah antara faktor pemilihan yang dianggap penting dalam menyokong operasi global Schott dan kepelbagaian dalam pasukan projek SAITS.

“Malaysia menawarkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam pelaburan digital yang mana adalah pemacu penting bagi kami. Status MSC, menawarkan insentif cukai kepada syarikat asing yang ingin memulakan pusat kecekapan IT di Malaysia adalah salah

satu contoh insentif pelaburan yang kukuh di Malaysia.

“Malaysia menawarkan infrastruktur yang stabil dan mampu milik, sekali gus membantu penubuhan SAITS. Negara ini juga mempunyai sektor inovasi yang mantap dan membantu kelahiran syarikat gergasi serantau seperti Grab dan Carsome,” katanya.

Schott AG adalah syarikat kaca multinasional Jerman yang pakar dalam pembuatan kaca dan kaca-seramik.

Syarikat berpangkalan di Mainz itu beroperasi di 34 negara dan adalah rakan kongsi berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi meliputi industri kesihatan, elektronik ke optik pengguna, automotif dan aeroangkasa.

Pada 1974, ia menubuhkan kilang pembuatan di Pulau Pinang dan pada tahun kewangan 2020, Schott mempunyai seramai 16,500 pekerja di seluruh dunia dan menjana jualan sebanyak 2.24 bilion euro.

Syarikat itu juga dimiliki oleh Carl Zeiss Foundation, antara yayasan tertua di Jerman.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) dan Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva, berkata penubuhan SAITS yang canggih di Malaysia adalah jaminan keyakinan yang berterusan oleh syarikat Jerman untuk Malaysia dan menjadikan negara ini destinasi pelaburan digital utama.

Beliau berkata, ia juga adalah langkah ke hadapan kepada Strategi Pelaburan Digital Future5 MDEC (Digital Investments Future5 Strategy – DIF5), memfokus kepada lima teras utama dalam usaha menarik pelaburan dan memacu ekonomi digital selari dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

DIF5 berperanan untuk memacu pertumbuhan dalam ekonomi digital dengan memperoleh pelaburan digital berkualiti tinggi.

Penubuhan SAITS, bukan saja akan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, tetapi juga memberi peluang untuk membangun dan mengembangkan bakat dalam negara selari dengan visi MDEC dalam Malaysia 5.0, membolehkan negara terintegrasi dengan teknologi, menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.

Pengurus Pelaburan Baharu, Pelaburan dan Geran Pembangunan MDEC, Kamelinder Singh, pula berkata MDEC banyak membantu mempercepatkan proses penubuhan SAITS dengan mengurangkan sebarang kekangan dan kerumitan yang disebabkan oleh pendemik COVID-19.

Sebagai petunjuk kelebihan Malaysia dalam menawarkan bakat berkemahiran digital, pencarian bakat oleh Schott’s IT untuk SAITS telah menyaksikan lebih 2,000 permohonan diterima dan lebih 200 sesi temu duga telah dijalankan.

Berdasarkan jumlah berkenaan, 50 bakat adalah berkaitan T-Systems, 30 bakat berkaitan sistem IBM, manakala 130 bakat adalah kategori lain-lain.

Ketika ini, SAITS memiliki seramai 30 pekerja berkemahiran tinggi dan akan meningkat kepada 150 pekerja dalam tempoh dua

hingga lima tahun akan datang.

Jerman adalah pelabur asing terbesar daripada Kesatuan Eropah di Malaysia dan penubuhan SAITS itu menunjukkan keyakinan berterusan oleh syarikat Jerman di negara ini.

Setakat Jun 202, sejumlah 461 projek pembuatan dengan pembabitan Jerman dilaksanakan di Malaysia, membabitkan jumlah pelaburan sebanyak AS$9.36 bilion (RM33.31 bilion), demikian mengikut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Projek itu mewujudkan sebanyak 47,277 peluang pekerjaan.

Setakat ini, terdapat 27 Syarikat MSC yang aktif dari Jerman yang menyediakan perkhidmatan IT dan perniagaan global (GBS).

Ia termasuklah syarikat antarabangsa terkenal seperti DHL, T-Systems dan BMW.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon