B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak berhasrat jadi pembekal tenaga di rantau ASEAN – Abang Johari

Sarawak berhasrat jadi pembekal tenaga di rantau ASEAN – Abang Johari

06 Ogo 2021

Sarawak akan terus memanfaatkan pembangunan tenaga lestari bagi memenuhi aspirasinya menjadi pembekal tenaga kepada ASEAN dan memacu pertumbuhan yang mampan di rantau itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata memiliki sumber asli yang banyak serta tenaga kerja yang cekap dan berkemahiran tinggi, membolehkan Sarawak menumpukan kepada kelestarian alam sekitar dan ekonomi digital, yang akan terus menjadi prinsip teras untuk mempercepatkan pertumbuhan sosioekonomi pascapandemik COVID-19.

“Dua minggu lepas kita melancarkan  Strategi Pembangunan 2030 Pasca-COVID-19 (PCDS) untuk membangunkan masyarakat yang menikmati kemakmuran ekonomi, inklusif sosial dan persekitaran mampan yang dipacu data dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai pertukaran tenaga dan kesalingsambungan  antara anak syarikat Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) secara maya, dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid yang turut disaksikan Pengerusi SESB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Abang Johari berkata perjanjian itu mempertanggungjawabkan kedua-dua organisasi untuk mewujudkan kesalingsambungan Sarawak-Sabah dan bergerak selangkah lebih dekat ke Grid Borneo yang lebih luas.

Beliau berkata perkongsian Sarawak dan Sabah ini akan menggalakkan lebih banyak kolaborasi di rantau ini dan memupuk perkongsian pembelajaran untuk mendorong mereka mendekati masa depan tenaga lestari untuk semua, sambil meningkatkan lagi hubungan mesra antara Sarawak dengan Sabah.

“Selain manfaat ini, kerjasama ini akan menggalakkan kerjasama rapat dalam banyak bidang penting kerana pembangunan kesalingsambungan adalah besar, pelaburan jangka panjang untuk kedua-dua pihak.

“Menerusi pendekatan bersepadu ini, kami akan dapat memupuk pemahaman dan perkongsian faedah lebih besar antara Sarawak dengan Sabah yang membentuk wilayah Malaysia di Borneo,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon