Sektor digital Asia Tenggara berpotensi jana RM97.5 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor digital Asia Tenggara berpotensi jana RM97.5 bilion

Sektor digital Asia Tenggara berpotensi jana RM97.5 bilion

11 Ogo 2021

Ekosistem digital Asia Tenggara yang sedang pesat berkembang mempunyai potensi untuk menjana peluang pendapatan berjumlah AS$23 bilion (RM97.5 bilion) menjelang 2025, daripada kira-kira AS$4 bilion (RM16.96 bilion) pada 2019.

Rakan Pengurusan Serantau ASEAN EY, Liew Nam Soon, berkata ekosistem digital berfokuskan pelanggan sedang terbentuk di seluruh Asia Tenggara bagi menyampaikan nilai pada kepantasan dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, ia adalah sebagai tindak balas kepada gangguan digital industri dan dipacu pantas oleh pandemik COVID-19.

“Terdapat pertumbuhan pesat syarikat pemula dan natif digital. Beberapa peneraju natif digital di Asia Tenggara berubah menjadi platform super digital, dengan memberikan perkhidmatan yang saling berkaitan melalui pengalaman bersepadu – dari perjalanan, penghantaran makanan, barang runcit, logistik, perkhidmatan kesihatan, gaya hidup dan kewangan

“Pengguna hari ini menjangkakan kelajuan, responsif dan akses dengan pengalaman yang disesuaikan dengan kehendak mereka.

“Ekosistem digital membantu syarikat mencipta nilai melalui pertumbuhan pendapatan, memperoleh akses pasaran baharu, mengurangkan kos pemerolehan pelanggan, yang akhirnya mengukuh dan mengekalkan hubungan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya membentangkan kajian oleh EY bertajuk, ‘Membina ekosistem digital yang berjaya di Asia Tenggara’, hari ini.

Dalam pada itu, Nam Soon berkata, kira-kira 39 peratus perusahaan di ASEAN menunjukkan kemajuan besar ke arah transformasi digital.

Katanya, 65 peratus syarikat ASEAN akan memulakan perjalanan digitalisasi mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital terhadap semua perniagaan dengan ketara di rantau ini dan syarikat akan terus mengubah perniagaan dan beralih kepada pendigitalan untuk mendorong pertumbuhan menguntungkan.

“Model perkongsian dapat memberikan momentum yang signifikan untuk perjalanan transformasi digital mereka,” katanya.

Sementara itu, Rakan EY-Parthenon dan pakar ASEAN, Joongshik Wang berkata Malaysia mempunyai syarikat permulaan unicorn yang sedikit berbanding negara serantau lain.

“Saya terkejut mengenainya kerana lebih daripada 80 atau 90 peratus syarikat tertumpu di Singapura dan Indonesia dan kita melihat unicorn baharu muncul semakin aktif di Vietnam.

“Malaysia mempunyai kematangan pasaran secara keseluruhan dan kesediaan tinggi untuk ekonomi digital tetapi apa yang menarik, kita melihat jumlah syarikat permulaan yang sedikit,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon