B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ericsson buka Pusat Pengedaran serantau baharu di KLIA

Ericsson buka Pusat Pengedaran serantau baharu di KLIA

14 Jun 2022

Ericsson memulakan operasi kemudahan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan mengembangkan kapasiti pengedaran serantaunya serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung.

Pusat Pengedaran Ericsson tersebut akan meningkatkan keupayaan pengedaran Ericsson untuk penyelenggaraan dan sokongan yang lebih pantas dengan tempoh tidak beroperasi yang minimum bagi pelanggan dan pengguna akhir, kata gergasi telekomunikasi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata kemudahan itu, yang terletak di perkampungan kargo KLIA, akan meningkatkan peranan strategik Malaysia dalam keupayaan syarikat untuk menyokong kelancaran operasi rangkaian pelanggan di rantau Asia Pasifik.

Menyediakan perkhidmatan kepada lebih 20 negara, Ericsson berkata Pusat Pengedaran Ericsson di Malaysia bertanggungjawab untuk pengurusan inventori perkakasan dan alat ganti di rantau Asia Pasifik. 

Katanya pusat itu menguruskan inventori peralatan baharu serta yang perlu diselenggara serta inventori tambahan semula, menerima peralatan dari negara lain dan menghantar peralatan yang diselenggara.

“Kemudahan pengedaran baharu itu akan melengkapkan Pusat Penyelenggaraan dan Sokongan di Malaysia, membolehkan Ericsson menambah baik penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pelanggan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hagerbro berkata: “Malaysia adalah lokasi yang sangat strategik untuk Ericsson dan kemudahan pengedaran baharu itu mengukuhkan komitmen kami di sini sambil mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung untuk rakyat Malaysia.”

Beliau berkata keupayaan untuk bertindak, menyampaikan dengan cepat dan memastikan waktu tidak beroperasi yang minimum bagi pengendali rangkaian mudah alih dan pengguna akhir, meletakkan Malaysia di kedudukan strategik untuk memberi perkhidmatan kepada industri telekomunikasi.

“Ini amat kritikal berikutan negara-negara di rantau ini telah mula mempercepatkan pelancaran komersial 5G mereka di samping mengukuhkan penggunaan 4G mereka,” katanya.

Pusat pengedaran berkeluasan kira-kira 6,317.40 meter persegi itu terletak di Hab Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis di Kampung Kargo KLIA dan dikendalikan oleh CEVA Logistics, salah satu syarikat pengurusan rantaian bekalan terbesar di dunia.

Pusat pengedaran di Malaysia melengkapkan lima pusat pengedaran Ericsson untuk pengurusan inventori perkakasan global yang terletak di Dallas, Dubai, Belanda dan Taiwan.

Ia juga memastikan kelancaran dan penyelenggaraan rangkaian telekomunikasi, termasuk rangkaian 5G, dengan akses pantas kepada inventori perkakasan dan alat ganti.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon