B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia catat pelaburan diluluskan RM42.8 bilion

Malaysia catat pelaburan diluluskan RM42.8 bilion

14 Jun 2022

Malaysia telah menarik sejumlah RM42.8 bilion untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, membabitkan 910 projek antara Januari dan Mac 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu juga akan mewujudkan 24,906 pekerjaan baharu di Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama, sebanyak 65 peratus atau RM27.8 bilion (AS$6.6 bilion) manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 35 peratus berjumlah RM15 bilion (AS$3.6 bilion).

Ini katanya menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur global dengan sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai tonggak utama ekonomi bagi 2022 yang menjana kesan pengganda yang ketara kepada pertumbuhan negara.

Ketika ini juga katanya lebih 5,000 syarikat dari lebih 40 negara menjadikan Malaysia sebagai lokasi mereka untuk operasi pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan.

Katanya, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan tinggi dan sektor dengan nilai tambah tinggi yang menawarkan peluang pekerjaan yang menarik kepada rakyat.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia telah memperoleh pelaburan baharu yang berada dalam kedudukan yang baik dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.

“Ini akan menjadikan kita berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak peluang ekonomi.

“Kami berharap untuk menyaksikan pertumbuhan yang lebih ketara pada suku kedua 2022,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Sektor pembuatan terus memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara dalam tempoh tersebut, menyumbang lebih daripada separuh (70.1 peratus) daripada jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM30 bilion diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM12.7 bilion (29.7 peratus) dan sektor utama sebanyak RM100 juta (0.2 peratus).

Daripada jumlah FDI yang diluluskan, Jerman mendominasi dengan pelaburan berjumlah RM8.9 bilion (32 peratus) diikuti Brunei sebanyak RM5.1 bilion (18.3 peratus), Amerika Syarikat (RM3.9 bilion atau 14 peratus), Hong Kong (RM3.3 bilion atau 11.9 peratus) dan Jepun sebanyak RM3.2 bilion (11.5 peratus).

Bagi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Johor menyumbang RM31.8 bilion (74.3 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tempoh itu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon