B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi negara dijangka terus meningkat pada suku kedua

Ekonomi negara dijangka terus meningkat pada suku kedua

20 Jun 2022

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada suku kedua dan ketiga tahun ini, didorong oleh usaha berterusan kerajaan untuk menarik pelaburan asing selain kejayaan program vaksinasi COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pertumbuhan sebanyak lima peratus yang dicapai pada suku pertama tahun ini, turut menjadi petunjuk bahawa prestasi ekonomi negara akan terus bertambah baik.

“Ini ekoran daripada dasar-dasar dan program yang telah dimulakan oleh (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan program vaksinasi COVID-19 negara dapat disegerakan. Malah, kini lebih daripada 98.5 peratus populasi dewasa telah mendapat suntikan dan seterusnya membolehkan sempadan negara dibuka.

“Susulan itu, permintaan luaran semakin meningkat dan syarikat-syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan itu,” katanya di Alor Setar.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mengadakan pertemuan tertutup dengan kepimpinan Bersatu Kedah.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata pihaknya berserta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.

Kerajaan juga akan terus memastikan situasi dan ekosistem perniagaan di negara ini kekal diyakini oleh para pelabur, katanya.

Beliau juga optimis bahawa ekonomi negara kini di landasan tepat untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19 dan kerajaan memerlukan sedikit masa dalam memastikan semua program pemulihan berjalan lancar.

Atas alasan itu, beliau menolak sebarang gesaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa terdekat ini.

“Kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara, rakyat sebagai keutamaan dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa-masa akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X