Kedah di landasan tepat untuk berkembang, nikmati kemajuan ekonomi - MB - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah di landasan tepat untuk berkembang, nikmati kemajuan ekonomi – MB

Kedah di landasan tepat untuk berkembang, nikmati kemajuan ekonomi – MB

19 Jun 2022

Kedah berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang dan menikmati kemajuan dari segi ekonomi berdasarkan kemasukan pelaburan ke negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya antara indikator yang boleh dibanggakan ialah nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM68.3 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas yang merupakan satu pencapaian luar biasa bagi Kedah.

“Pencapaian ini jauh mengatasi negeri-negeri lain yang sudah sedia maju dan dikenali sebagai negeri industri. Apa yang dicapai oleh Negeri Kedah Darul Aman juga merupakan satu rekod cemerlang dalam sejarah ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah mewakili kerajaan dan rakyat Kedah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-80 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata setakat suku kedua tahun ini pula Kedah telah menerima nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM20 bilion dan angka itu melepasi sasaran RM10 bilion pelaburan tahunan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Beliau berkata jika dinilai dari segi angka komitmen pelaburan dan juga nilai yang diunjurkan, dalam jangka pendek ia mungkin tidak mampu untuk memperlihatkan kesan perubahan bagi kehidupan rakyat.

Namun beliau menjelaskan, apa yang lebih penting ialah keyakinan yang ditunjukkan oleh komuniti industri dari dalam dan luar negara terhadap apa yang ada di negeri ini.

“Keyakinan komuniti pelabur ini juga pada hemat patik adalah cerminan pada nilai integriti yang sentiasa diberikan penekanan dalam setiap peringkat urus tadbir Kerajaan Tuanku,” katanya.

Pada istiadat itu, Sultan Sallehuddin menganugerahkan darjah dan bintang kebesaran kepada 62 penerima yang didahului Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Pada istiadat sama, baginda turut menganugerahkan kepada 63 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-79 tahun lepas.

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Kerabat Diraja Kedah yang lain.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon