B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DRB-Hicom, Malakoff nyatakan minat melabur di Zon Ekonomi Khas Pagoh

DRB-Hicom, Malakoff nyatakan minat melabur di Zon Ekonomi Khas Pagoh

27 Mac 2021

DRB-Hicom Bhd dan Malakoff Corporation Bhd telah menyatakan hasrat dan minat untuk melabur di Zon Ekonomi Khas Pagoh yang secara rasminya dilancarkan di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara itu berkata DRB-Hicom menerusi Proton Holdings Bhd, akan membina kilang pembuatan komponen berkaitan automotif seperti di Tanjung Malim, Perak.

“(Pelaburan ini) melibatkan dua syarikat besar…saya berhubung secara langsung dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, beliau ialah pemegang saham terbesar dalam kedua-dua syarikat (DRB-Hicom dan Malakoff Corp) dan mengesahkan untuk saya beritahu (semasa ucapan pelancaran) tentang minatnya untuk datang ke sini,” katanya di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh di Galeri Jualan Sime Darby, di sini.

Beliau berkata Malakoff Corp pula, menerusi anak syarikat di bawah kumpulan itu, merancang untuk membina kilang mengeluarkan panel solar.

“Ini juga akan melibatkan pelaburan yang besar, pekerja yang ramai dan saya amat mengalu-alukan pelaburan mereka. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada fasa pertama ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir berkata kerajaan telah menarik lebih RM200 juta dalam bentuk komitmen pelaburan bagi fasa pertama pembangunan zon ekonomi itu setakat ini.

Beliau berkata fasa pertama zon berkenaan akan mengambil tempoh lima hingga tujuh tahun selain menempatkan kawasan perindustrian seluas 172 hektar dan pusat keusahawanan seluas 168 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM1.1 bilion.

“Kerajaan sedar pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) memainkan peranan yang amat penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi di Pagoh.

“Bagi menarik lebih banyak FDI dan DDI, kerajaan komited untuk menyediakan suasana yang kondusif melalui beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal bagi menarik minat pelabur asing dan tempatan yang berkelayakan untuk merangsangkan pertumbuhan pesat di Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah meluluskan permohonan di bawah pakej galakan istimewa bagi zon ekonomi itu, yang menawarkan pengecualian cukai pendapatan, duti setem dan cukai jualan selama lima tahun kepada syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang disasarkan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan memperluas insentif berkaitan kepada syarikat yang diiktiraf sebagai ‘first mover company’ yang mampu membawa aktiviti bernilai tinggi kepada zon ekonomi tersebut.

“Zon ini juga bakal memberikan keutamaan kepada industri sasaran yang telah dikenal pasti. Ini termasuk industri berasaskan kayu dan perabot, tekstil, penghasilan makanan dan minuman, produk automotif kejuruteraan, elektrik dan elektronik, pembuatan berasaskan teknologi hijau serta produk berasaskan pertanian,” katanya.

Perdana Menteri berkata zon ekonomi khas itu juga merupakan antara pelaksanaan janji kerajaan Perikatan Nasional untuk bukan sahaja memastikan kebajikan rakyat di Parlimen Pagoh terpelihara malah meningkatkan peluang pendapatan rakyat Malaysia secara umumnya.

Semua ini dilaksanakan agar kemakmuran negara dapat dikongsi dan diagihkan secara adil dan saksama bagi seluruh lapisan masyarakat, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon