AT&S mahu teroka kerjasama dalam produk baharu, teknologi di Malaysia - Mohamed Azmin - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AT&S mahu teroka kerjasama dalam produk baharu, teknologi di Malaysia – Mohamed Azmin

AT&S mahu teroka kerjasama dalam produk baharu, teknologi di Malaysia – Mohamed Azmin

23 Mac 2022

AT&S Malaysia merancang untuk meneroka kerjasama merangkumi produk baharu dan teknologi serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Malaysia memandangkan kekuatan negara dalam sektor tersebut.  

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini penting kerana pembukaan kemudahan mega AT&S di Kedah akan merangsang pembangunan tenaga kerja di universiti tempatan utama bagi memastikan kesediaan bekalan tenaga kerja di Malaysia untuk terus menyokong industri berkenaan.

“Mengenai teknologi hijau, AT&S melahirkan hasrat untuk mengembangkan lagi bidang kerjasama dalam membangunkan penyelesaian tenaga hijau,”  katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau hari ini. 

Terdahulu Mohamed Azmin mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Andreas Gerstenmayer apabila beliau berkongsi kemajuan pelaksanaan kemudahan syarikat yang beribu pejabat di Austria itu di Kedah sejak upacara pecah tanah tahun lepas.  

Menurutnya, kedua-dua pihak juga membincangkan kaedah untuk meningkatkan operasi AT&S di Malaysia menerusi pengembangan skop pelaburan semasa, tenaga kerja dan pembinaan kapasiti serta penyelesaian tenaga hijau.

“Data akan menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi industri mikroelektronik dan AT&S berkedudukan baik untuk terus menjadi peneraju dalam bidang ini dengan rancangan untuk meningkatkan kehadiran globalnya bagi rantaian bekalan yang pantas dan kecekapan kos,” katanya.

Mohamed Azmin berkata semasa pertemuan itu, Andreas juga memaklumkan bahawa AT&S meletakkan sasaran untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2030.

Syarikat itu berhasrat bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan sumber tenaga hijau bagi mencapai sasarannya sendiri dan seterusnya menjadi satu daripada wadah yang akan menetapkan laluan bagi industri untuk melaksanakan lebih banyak amalan hijau. 

“Saya mengalu-alukan cadangan itu kerana ia selaras dengan sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar (GhG) menjelang 2050, paling awal.

“Jelas sekali, mesyuarat ini membuahkan hasil dan MITI serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memastikan ekosistem perniagaan kekal dinamik dan menarik bagi pelaburan strategik seperti oleh AT&S,” jelasnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon