B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aspirasi Pelaburan Nasional harus perkukuhkan cadangan nilai pelaburan – Ahli Ekonomi

Aspirasi Pelaburan Nasional harus perkukuhkan cadangan nilai pelaburan – Ahli Ekonomi

25 Apr 2021

Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) harus mengukuhkan cadangan nilai pelaburan yang dapat ditawarkan kepada pelabur asing yang ingin mengambil bahagian dalam pertumbuhan jangka panjang negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia sentiasa menjadi negara yang pro-perniagaan dan mesra pelabur, ia dibuktikan  dalam dasar kerajaan melalui insentif cukai, pengezonan ekonomi dan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kemasukan pelabur.

“Selain itu, keadaan infrastruktur asas seperti pelabuhan, lapangan terbang, lebuh raya, bekalan elektrik dan telekomunikasi boleh dipercayai dan dapat memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan cara yang paling berkesan.

“Malaysia adalah negara yang aman dan berbilang kaum serta budaya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Malaysia mempunyai semua yang diperlukan untuk menarik pelabur asing.

“Malaysia  memiliki kekuatan dalam  sektor elektrik dan elektronik dan memandangkan teknologi  berkemungkinan  disepadukan  dalam  pelbagai aspek kehidupan manusia, wajar bagi negara untuk terlibat dalam sektor hiliran, justeru itu lebih banyak aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan berlaku.

“Seterusnya, permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi juga akan meningkat,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kabinet telah meluluskan NIA, kerangka pertumbuhan yang berpandangan jauh, ia akan menggariskan asas bagi reformasi dasar pelaburan Malaysia.

Selain itu, Azmin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata NIA akan menjadi pusat untuk mengaktifkan kembali iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pasca-COVID-19.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon