Asian Supply Base rancang kembangkan saiz operasi pangkalan dan kapasiti - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Asian Supply Base rancang kembangkan saiz operasi pangkalan dan kapasiti

Asian Supply Base rancang kembangkan saiz operasi pangkalan dan kapasiti

28 Jan 2022

Cabang pelaburan kerajaan negeri Sabah, Asian Supply Base  Sdn Bhd kini menumpukan pada perluasan operasi pangkalan untuk mengembangkan kapasitinya.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa  berkata sudah tiba masanya untuk syarikat yang berpangkalan di Labuan ini mengembangkan saiz operasi pangkalan sedia ada yang berkeluasan 139.61 hektar memandangkan statusnya sebagai hab logistik untuk industri minyak dan gas Labuan.

“Saya optimis Asian Supply Base mempunyai rancangan pembangunan jangka panjang untuk terus membangunkan pangkalan itu bagi menampung keperluan yang kian meningkat daripada pemain industri.

“PETRONAS telah memberikan sokongan dan pengiktirafan kepada komitmen dan usaha Asian Supply Base untuk menaik taraf kemudahan di pangkalan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat prestasi syarikat itu di sini hari ini.

Yamani berkata pasukan pengurusan Asian Supply Base sedang berusaha untuk menyelesaikan urusan tanah dengan pihak berkuasa tempatan bagi pembesaran pangkalan operasi syarikat, berikutan nilai tanah di pulau ini secara relatifnya lebih tinggi dan terhad berbanding di negeri lain.

“Asian Supply Base telah mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Labuan sejak 2007, dan dengan hubungan yang baik, kami berharap perjanjian tanah untuk pembesaran itu dapat direalisasikan,” katanya.

Pengerusi Asian Supply Base Datuk Suhaili Abd Rahman berkata syarikat telah bersedia untuk melabur dalam usaha pembesaran itu dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan, kemudahan dan pengalaman pelanggan.

“Kami telah berbincang mengenai rancangan pembesaran dan mengenal pasti tanah yang sesuai untuk pembesaran…ia kini terserah kepada kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan untuk membantu memudahkan urusan tanah itu.

“Dengan meningkatnya permintaan daripada pelanggan berserta prospek pertumbuhan,  tumpuan utama kami ialah bergerak ke hadapan dan seterusnya mengoptimumkan terminal semasa,” katanya.

Suhaili menambah sejak beroperasi pada 1984, syarikat  telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan Labuan dan Sabah serta menyokong aktiviti perniagaan.

Sebanyak 88 syarikat antarabangsa dan domestik berkaitan minyak dan gas kini sedang beroperasi di pangkalan operasi Asian Supply Base dengan 16 daripadanya adalah kontraktor penyusunan petroleum (PAC), dan baki 71 lagi adalah kontraktor penyusunan bukan petroleum.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon