B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis pada tahap memberangsangkan – Menteri Besar

Pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis pada tahap memberangsangkan – Menteri Besar

30 Jan 2022

ALOR SETAR, 30 Jan — Proses pelaksanaan projek berimpak tinggi, Kedah Aerotropolis yang merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri di daerah Kuala Muda berada pada tahap yang memberangsangkan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu hampir menyiapkan konsep dan reka bentuknya sebelum dibentang untuk kelulusan kerajaan persekutuan.

“Saya telah menulis kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan beliau secara dasarnya bersetuju kerana projek ini adalah PFI (private finance initiative)…dan kalau PFI kerajaan persekutuan tidak ada halangan.

“Pertama sekali perlu kepada kelulusan kabinet dan akan dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang bertanggungjawab ke atas Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta juga kemudian akan tengok tentang projek ini,” katanya pada siding media di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity Holdings Tan Sri Dr Ir Jamilus Hussein, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  KXP AirportCity Holdings Nur Salman Saad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif POS Aviation Mohamad Asif Abdul Talib dan  Ketua Pegawai Eksekutif KLIA College Fakri Zaki Mohammed Darus.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara KXP AirportCity Holdings dengan POS Aviation dan KLIA College.

Beliau berkata semua aspek berkaitan bagi menjayakan projek itu termasuk kewangan, pengambilan tanah dan keperluan teknikal juga telah selesai atau sedang diuruskan dengan baik.

“Saya tidak nampak apa-apa halangan lagi untuk kita bergerak sama-sama menjayakan satu projek berimpak tinggi bagi Kedah yang akan memberi manfaat kepada semua negeri-negeri di utara dan kepada Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings berkata POS Aviation dilantik sebagai pengendali akhir (end user) kargo udara dan operasi darat, sementara kerjasama dengan KLIA College pula berkaitan untuk melahirkan tenaga kerja yang diperlukan di Kedah Aerotropolis.

Kedah Aerotropolis yang dirangka untuk memacu transformasi ekonomi negeri ini akan dibangunkan di kawasan seluas 9,800 ekar (3,965 hektar) merangkumi pembinaan KXP selain industri sokongan termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon