B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ascott yakin prospek di Malaysia

Ascott yakin prospek di Malaysia

03 Mac 2022

The Ascott Ltd, unit perniagaan penginapan milik penuh CapitaLand Investment Ltd (CLI) yakin dengan prospeknya di Malaysia dan menyasar mengembangkan operasinya di negara ini meskipun pandemik COVID-19 yang masih menular.

Pengurus Besar Negara Ascott bagi Malaysia, Mondi Mecja, berkata beliau menantikan pelancongan kembali semula pada 2022 dengan pembukaan sempadan dan pelaksanaan laluan perjalanan lengkap vaksin.

“Kami gembira untuk membawakan momentum positif ini pada 2022 dan memperkenalkan lebih banyak tawaran daripada Ascott. Dengan kehadiran jenama global dalam industri pelancongan dan hospitaliti, Ascott akan terus mengembangkan operasinya di Malaysia.

“Menjelang suku ketiga 2022, kami menjangkakan memperkenalkan tiga lagi hartanah menarik yang akan terletak di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya pada majlis pembukaan rasmi Ascott Gurney Penang, di sini, hari ini.

Ascott Gurney Penang dimiliki oleh Plenitude Bhd, syarikat tersenarai di Pasaran Utama dengan pelaburan dalam pembangunan hospitaliti dan hartanah dan akan diuruskan oleh The Ascott Ltd.

Hartanah itu, yang terletak di tengah-tengah bandar George Town memenuhi keperluan penginapan kepada pelancong perniagaan dan juga liburan serta tetamu korporat yang menginap lama dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium dan bilik permainan kanak-kanak.

Ascott Gurney Penang setinggi 37 tingkat menawarkan 271 pangsapuri moden, terdiri daripada unit studio serta unit satu dan dua bilik tidur dengan ruang tamu dan ruang makan berasingan, serta mesin basuh dan pengering yang terbina dalam.

Di Pulau Pinang, Ascott juga baru-baru ini membuka Sky Residence Prai pada November tahun lalu yang mendapat sambutan daripada pengembara perniagaan dan keluarga.

Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Sky Residence Prai, Lee Ai Leng, berkata antara tarikan utama hotel itu adalah saiz biliknya yang besar yang bermula daripada 39 meter persegi serta lokasinya yang berhampiran dengan kawasan perindustrian di Bukit Mertajam, selain kemudahan utama seperti kolam renang dan gimnasium.

“Ruang besar hotel ini menarik minat pengembara yang melancong bersama keluarga. Kami juga mendapat ramai pelanggan korporat daripada kilang berdekatan yang menginap sehingga lebih daripada sembilan bulan.

“Semasa kami membukanya pada November, kadar penghunian adalah kira-kira 20 peratus, bagaimanapun ia melonjak kepada 60 peratus pada Disember 2021,” katanya.

Sky Residence Prai menawarkan 168 unit kontemporari terdiri daripada unit studio hingga pangsapuri dua bilik tidur dengan pangsapuri yang serba lengkap menampilkan dalaman moden bagi menyediakan ruang yang luas dan selesa kepada tetamu hotel.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon