B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Air Liquide buka ibu pejabat baharu bagi operasi Malaysia

Air Liquide buka ibu pejabat baharu bagi operasi Malaysia

09 Feb 2022

Air Liquide, syarikat multinasional Perancis yang juga penyedia gas dan perkhidmatan kepada pelbagai industri termasuk perubatan, bahan kimia dan pengeluar elektronik, kini membuka ibu pejabat baharu bagi operasinya di Malaysia di 1Power House Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kenyataannya, syarikat itu  berkata pejabat terbabit akan menempatkan sebanyak  450 pekerja Air Liquide Malaysia dan Cryogenic  Tank Services  yang menyokong operasi di negara ini selain ibu pejabat APAC Global Services (AGS) yang menyediakan perkhidmatan bersama bagi entiti Air Liquide di lebih 14 negara di Asia Pasifik.

Menurut syarikat itu, majlis perasmian ibu pejabat baharu itu telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong serta Duta Besar Perancis ke Malaysia Roland Galharague.

Dalam pada itu, Lim menyifatkan  kehadiran Air Liquide bagi tempoh jangka panjang jelas memaparkan keyakinan serta dapat memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai lokasi hab perkhidmatan serantau pilihan di Asia.

“Menerusi komitmennya terhadap teknologi dan inovasi, operasi Air Liquide telah membawa nilai besar kepada negara ke arah memperluas ekosistem, memacu kesan pengganda ekonomi, bekerjasama dengan universiti tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pemindahan teknologi dan kemahiran inovatif serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pejabat baharu ini jelas memaparkan pencapaian bermakna dari segi pertumbuhan dan kita berhasrat untuk memberi kemudahan kepada lebih banyak pelaburan inovatif yang menarik serta berteknologi tinggi ke dalam Malaysia,” katanya.

Air Liquide mula bertapak di Malaysia pada 1927 dengan operasi awalnya menumpukan usaha menyokong industri tempatan, menawarkan pelbagai gas industri dan perubatan serta perkhidmatan kejuruteraan.

Sejak beberapa tahun lepas, operasinya di Malaysia telah dipelbagaikan dan berkembang pesat, bermula dengan penambahan Pusat Operasi Inovatif Pintar pada 2018 yang membolehkan pengurusan pengeluaran secara jarak jauh membabitkan unit-unit pengeluaran industri besar syarikat yang meliputi lapan negara di serata rantau ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon