B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Yenher sasar eksport produk kesihatan, makanan haiwan ke 15 negara

Yenher sasar eksport produk kesihatan, makanan haiwan ke 15 negara

28 Mac 2023

Yenher Holdings Bhd, pembuat dan pengedar produk kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan, merancang untuk mengeksport produknya ke 15 negara lagi dalam masa lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan, Cheng Mooh Tat, berkata pelbagai usaha sedang dijalankan dengan giat pada masa ini bagi mengeksport produknya ke pasaran baharu seperti di Bangladesh dan Myanmar.

“Kami percaya dapat meluaskan perniagaan ke 15 buah lagi negara dan sekarang ini pihak syarikat giat menjalankan pelbagai promosi di negara-negara terbabit di antaranya melalui pameran bagi memperkenalkan produk-produk kami. Bagaimanapun dalam masa yang sama usaha turut dijalankan bagi meningkatkan jualan untuk pasaran tempatan.

“Sekarang ini, kami telah mengeksport ke 15 buah negara antaranya ialah Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam yang mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah jualan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mooh Tat berkata, syarikat juga merancang untuk membina sebuah kilang pembuatan baharu yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP) menjelang suku kedua tahun ini dan ia dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

Katanya, menerusi kilang baharu dengan mesin dan peralatan serba baharu, pihaknya akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran dan bersedia memenuhi permintaan yang lebih tinggi.

“Kami percaya menerusi kilang baharu ini, syarikat mampu meningkatkan pengeluaran sebanyak tiga kali ganda terutamanya produk makanan haiwan kerana kilang sedia ada ini berdepan sedikit kekangan untuk mengeluarkannya dalam kuantitit yang banyak.

“Kilang baharu ini juga sudah pasti akan membantu Yenher menarik pelanggan-pelanggan baharu dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami,” katanya sambil menambah syarikat itu telah menjalankan perniagaan sejak lebih 20 tahun lalu.

Kumpulan itu mempunyai sebuah kilang pembuatan, gudang dan makmal dalaman untuk penyelidikan dan pembangunan dengan kira-kira 140 pekerja yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon