B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Yayasan Sabah meterai perjanjian usaha sama pengeluaran tenaga boleh diperbaharui

Yayasan Sabah meterai perjanjian usaha sama pengeluaran tenaga boleh diperbaharui

18 Okt 2022

Yayasan Sabah memeterai perjanjian usaha sama dengan G Capital Berhad bagi menghasilkan tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu dilaksanakan melalui loji janakuasa hidroelektrik mini seluruh Sabah untuk melengkapkan penjanaan bekalan elektrik di negeri ini. 

Katanya, loji janakuasa hidroelektrik mini antara pendekatan holistik bagi menangani isu kekurangan bekalan elektrik dengan memanfaatkan iklim dan sungai di Sabah.

“Saya yakin perjanjian usaha sama ini akan menyumbang bekalan tenaga yang stabil kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sekali gus menarik pelaburan yang berkualiti.

“Langkah untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah sejajar dengan dasar kerajaan Persekutuan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Selain itu, ia juga salah satu daripada tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu rangkaian infrastruktur hijau dan kelestarian,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama dan pemegang saham di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata, penjanaan tenaga hijau seperti loji janakuasa hidroelektrik kecil akan menarik lebih ramai pelabur, terutamanya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Menurutnya, usaha itu akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Sabah selain memberi manfaat industri dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan mewujudkan laluan untuk kerjaya profesional.

“Malah, baru-baru ini Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Tenaga Boleh Diperbaharui (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang akan membuka jalan kepada penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah bagi menguruskan sepenuhnya bekalan tenaga negeri.

“Pencapaian bersejarah ini akan membolehkan Sabah menguasai sepenuhnya pengurusan bekalan tenaga termasuk perancangan pengagihan kepada lebih banyak isi rumah serta kawasan komersial.

“Ini adalah langkah besar ke arah mencapai objektif rancangan pembangunan SMJ,” katanya.

Selain itu jelasnya, infrastruktur bekalan kuasa yang lebih baik turut dirancang dengan baik menerusi inisiatif pelaburan SMJ kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.

Dalam pada itu beliau berkata, beberapa pelabur utama yang datang ke Sabah antaranya syarikat kerajang tembaga Korea SK Nexilis yang membuka kilang seluas 100 ekar dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 bilion serta SBH Kibing sebuah syarikat China yang turut menubuhkan kilang bernilai jutaan ringgit di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). 

Justeru, Hajiji mengalu-alukan usaha sama antara Yayasan Sabah dan syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka Gcapital Berhad.

Di bawah perjanjian itu, beberapa loji janakuasa hidroelektrik mini antaranya sungai di Kota Belud akan dibina dengan jumlah kapasiti kuasa 65 Mega Watt.

“Kabinet negeri akan terus menyokong cadangan projek yang memberi manfaat kepada rakyat dan Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, Yayasan Sabah diwakili oleh Pengerusi Innoprise Synergy Sdn Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala G Capital Berhad diwakili oleh Pengerusi CM Creative Itinerary Sdn Bhd iaitu syarikat milik penuh G Capital Berhad Zulkepli Mishat.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon