B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Wiwynn labur RM300 juta bina fasiliti pembuatan papan litar bercetak di Johor

Wiwynn labur RM300 juta bina fasiliti pembuatan papan litar bercetak di Johor

27 Jun 2022

Wiwynn Corporation, penyedia infrastruktur teknologi maklumat  pengkomputeran awan berpejabat di Taiwan bagi kemudahan pusat-pusat data skala hiper, akan menubuhkan sebuah fasiliti pembuatan papan litar bercetak dengan nilai pelaburan RM300 juta di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata kemudahan itu bakal mewujudkan kira-kira 1,100 peluang pekerjaan.

“Johor semakin menjadi kawasan khas untuk pelaburan pusat data di sebabkan negeri ini mampu memenuhi keperluan syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia, selain utiliti dan tanah yang mencukupi.

“Pelaburan Wiwynn dan kehadiran mereka di Johor, sekali lagi akan membawa pendedahan Johor ke peringkat antarabangsa untuk menarik lebih banyak pelaburan yang serupa atau berkaitan ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lee menghadiri majlis pecah tanah bagi kemudahan tersebut di Senai Airport City di Kulai.

Beliau berkata kedudukan fasiliti berkenaan di Kulai yang berfungsi sebagai hab serantau Wiwynn di rantau Asia Pasifik, akan meletakkan Johor dalam peta global sebagai pangkalan pembuatan infrastruktur berkaitan pusat data.

Wiwynn bakal menggunakan teknologi Indeks Bangunan Hijau untuk membolehkan pembuatan pintar dan operasi yang mampan di negeri ini, kata Lee sambil menyatakan keyakinan ia akan menjadi penanda aras baharu dalam industri. 

Lee berkata Wiwynn turut merancang untuk bekerjasama dengan institut pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), termasuk menyediakan peluang latihan untuk graduan supaya dapat merealisasikan potensi mereka di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Perbandaran Kulai, Senai Airport City dan pihak lain berikutan usaha gigih untuk menjayakan pelaburan tersebut. 

“Ia benar-benar memberi inspirasi kepada kita bagaimana mereka dapat bekerjasama untuk memudahkan pelaburan lanjutan Wiwynn dalam tempoh yang begitu singkat.

“Secara keseluruhan, nilai pelaburan Wiwynn di Johor berjumlah RM500 juta, mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor,” katanya.

Pada 20 Dis tahun lepas, Wiwynn dilaporkan akan memajukan tanah seluas 4.806 hektar di Senai yang menempatkan kilang rak khidmat pelayan bersepadu di Johor dengan pelaburan bernilai RM200 juta dan mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon