B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Wilayah Pantai Timur bakal jadi hub industri kenderaan RV

Wilayah Pantai Timur bakal jadi hub industri kenderaan RV

30 Nov 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang berusaha memanfaatkan potensi industri kenderaan rekreasi (RV) yang semakin berkembang di rantau ini.

Timbalan Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Norazman Ayob berkata, kementeriannya bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ECERDC untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, seperti industri RV, ke Malaysia.

Katanya, pengembangan industri RV secara keseluruhannya berpotensi membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit dan MITI berharap dapat menarik pelaburan industri tersebut di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan seluruh negara.

“Ia menunjukkan bahawa langkah itu akan berlaku seawal separuh pertama tahun 2023 dan Pahang mungkin menjadi hab untuk RV buatan tempatan (CKD),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada upacara penyerahan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang berlangsung di Menara MITI 7 di sini.

Menurut Norazman, pihaknya berterima kasih kepada pelabur dari Jerman kerana memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan ideal untuk menubuhkan industri RV.

“Ia adalah usaha kami untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan terutamanya untuk pelabur Jerman seperti Knaus Tabbert AG dan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab RV untuk pasaran ASEAN dan Asia Pasifik,” katanya.

Seperti industri lain, tambahnya, pertumbuhan industri RV akan merangsang ekonomi tempatan melalui kesan limpahannya.

Ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan, malah dapat membantu ekonomi serantau untuk berkembang, kata Norazman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Knaus Tabbert AG, Wolfgang Speck berkata, syarikat itu berharap dapat bekerjasama dengan ECERDC untuk menubuhkan kemudahan pembuatan RV di rantau ECER.

“Permintaan untuk industri RV menunjukkan peningkatan yang ketara di peringkat global.

“Pasaran ini diunjurkan berkembang menjadi industri berpotensi berbilion dolar di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Malaysia, yang mempunyai FTA dengan China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand mempunyai potensi besar untuk menjadi hab karavan bagi rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut Wolfgang, industri RV masih di peringkat awal di Malaysia berbanding Australia, di mana ia dianggarkan bernilai AS$11 bilion dolar untuk negara dengan 26 juta penduduk itu.

“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan syarikat Malaysia bagi peluang mengedar dan membuka lebih banyak taman RV di negara ini, bagi menggalakkan rakyat Malaysia menerima gaya hidup baharu ini sambil memanfaatkan sepenuhnya landskap indah negara,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya komited membantu ECERDC dan pelabur automotif dalam tadbir urus dan pentadbiran industri RV secara sistematik, boleh dipercayai dan inovatif.

“Ini bagi memastikan keselamatan industri dan mengurangkan risiko kemalangan manakala pada masa yang sama, memacu industri berkualiti tinggi dengan mengutamakan keselamatan.

“Kerajaan melalui MITI dan ECERDC mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Industri kenderaan RV yang membincangkan dan mengambil inisiatif untuk meningkatkan dan memperkasakan penggunaan RV, serta infrastruktur sokongannya, di seluruh Malaysia,” ujarnya

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon