B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Widad manfaat kepakaran IBS syarikat China

Widad manfaat kepakaran IBS syarikat China

23 Mac 2022

Widad Business Group (WBG), konglomerat pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu menjalin kerjasama dengan syarikat berpangkalan di China, SANY Group bagi meningkatkan kemudahan pembuatannya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal, berkata melalui kerjasama itu, kumpulan akan meraih manfaat dalam bidang teknologi pratuang atau Sistem Binaan Berindustri (IBS), melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan daripada SANY dengan kemudahan pembuatan bersama IBS yang akan dibina di Kedah.

“WBG pada 3 Mac 2022 menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat SANY Group yang berpangkalan di China, Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd.

“MoU itu membolehkan kedua pihak menjalankan kerjasama dalam projek hartanah dan infrastruktur WBG di Malaysia, termasuk melalui penggunaan teknologi IBS SANY dan peralatan berat pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.

IBS, yang juga dikenali sebagai pra-fabrikasi, adalah alat penting dalam meningkatkan produktiviti pembinaan.

Teknologi ini membolehkan komponen bangunan dibuat dalam persekitaran terkawal di luar tapak dan memerlukan sedikit kerja tapak tambahan setelah dipasang.

IBS digunakan di beberapa struktur paling ikonik di Malaysia seperti Menara Berkembar PETRONAS dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

WBG juga akan dapat bekerjasama dengan Universiti SANY untuk menyediakan latihan mengenai teknologi IBS dan operasi peralatan berat kepada pelajar dan pekerja tempatan.

Muhammad Ikmal berkata, pemindahan teknologi dan pengetahuan daripada SANY dijangka meletakkan WBG di hadapan dalam pada terus melaksanakan projek hartanah dan infrastruktur berkualiti tinggi.

Beliau berkata, penggunaan IBS dalam projek kumpulan akan dapat meningkatkan kualiti akhir, mengurangkan tempoh pembinaan dan merendahkan kos berkaitan.

Dengan perkongsian itu, katanya, WBG menyahut seruan kerajaan agar peserta pembinaan menerima IBS untuk persekitaran perniagaan yang lebih dipacu oleh teknologi.

“WBG mempunyai barisan projek hartanah dan infrastruktur yang menarik di hadapan, yang mana akan mengangkat kumpulan ke peringkat seterusnya.

“Projek terbesar kami, The Langkasuka, semakin menghampiri upacara pecah tanahnya pada suku kedua 2022 dan kami sedang berusaha untuk melaksanakan projek seperti yang dirancang.

“Teknologi IBS daripada Kumpulan SANY akan menjadi aset yang penting dalam pembangunan ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon