B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


WEF2023: Tengku Zafrul adakan mesyuarat dua hala dengan Ericsson, Microsoft

WEF2023: Tengku Zafrul adakan mesyuarat dua hala dengan Ericsson, Microsoft

18 Jan 2023

Ericsson Group dan Microsoft adalah antara syarikat multinasional yang masing-masing terlibat dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Perbincangan dalam mesyuarat itu, dengan Ericson diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Borje Ekholm manakala Microsoft pula diwakili Naib Presiden Eksekutif Jean-Philippe, menumpukan mengenai potensi pelaburan dan pengembangan.

Ketika ditanya mengenai rentetan pertemuan dua hala yang telah diadakan sejak beliau tiba di sini pada Isnin, Tengku Zafrul menyifatkan ia adalah sesuatu yang hebat setakat ini.

“Seperti yang anda ketahui WEF 2023 dihadiri kira-kira 2,700 pemimpin dari 130 negara, termasuk 52 ketua negara.

“Saya mahu mengadakan lebih banyak mesyuarat dua hala terutama dengan rakan sejawatan saya,” katanya kepada Bernama pada luar acara WEF 2023 di bandar peranginan ski di sini, pada Selasa.

Beliau berkata setakat ini, perbincangan dalam mesyuarat dua hala itu menumpukan peluang-peluang di Malaysia.

“Sesetengah syarikat yang bertemu dengan kita sebenarnya telah melabur di Malaysia tetapi mahu memastikan pelaburan mereka dilindungi. Kita juga berbincang mengenai potensi untuk mengembangkan operasi dan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan perbincangan juga menyentuh perkara yang boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat multinasional ini.

“Jadi, menerusi kerajaan baharu, kita mahu melihat kestabilan dan kita juga bercakap tentang prospek Malaysia,” katanya.

Selain itu, syarikat Malaysia juga sedang berkembang ke luar negara, oleh yang demikian syarikat multinasional ini boleh membantu dalam usaha itu, katanya.

Mengenai pewujudan ruang ‘Malaysia House’ buat kali pertama di Davos sempena WEF, beliau berkata ia adalah pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.

“Negara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lepas. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Tengku Zafrul kini mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023.

Antara acara berjadual yang akan disertainya ialah sesi mengenai keburukan fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan Tengku Zafrul akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua ahli panel bagi mengupas mengenai ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi — seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti — akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon