B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Usaha pertingkat hubungan dengan Malaysia jadi keutamaan: Duta Turkiye

Usaha pertingkat hubungan dengan Malaysia jadi keutamaan: Duta Turkiye

29 Sep 2022

Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata sepanjang berkhidmat di sini usaha untuk mempertingkat hubungan di peringkat tinggi dan dalam aspek teknikal antara Turkiye dan Malaysia akan menjadi keutamaan.

Beliau yang dilantik pada Jun lalu berkata adalah penting bagi Turkiye dan Malaysia mengekalkan momentum itu selepas lawatan peringkat tinggi baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan sulung ke Turkiye pada Julai, manakala Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat negara itu pada Ogos.

Sementara itu, Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu mengadakan lawatan ke Malaysia pada Ogos.

“Kita telah membina hubungan kukuh dalam arena politik, ekonomi, komersial dan budaya serta momentum itu dipertingkatkan menerusi lawatan rasmi baru-baru ini,“ katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Mengenai 15 dokumen rasmi yang ditandatangani semasa lawatan Ismail Sabri, Yuksel berkata Turkiye tidak melihatnya sebagai teks undang-undang semata-mata tetapi sebagai testimoni kepada visi bersama menjalin kerjasama lebih erat.

“Secara lumrahnya kami mengikuti setiap perkara yang dibincangkan semasa lawatan penting ini tanpa mengira perubahannya kepada undang-undang.

“Kami sudah mula merancang dan merealisasikan lawatan teknikal baharu daripada kedua-dua pihak,“ katanya.

Yuksel berkata Turkiye berpuas hati dengan kemajuan luar biasa yang dicapai kedua-dua negara sahabat itu sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 1964.

Beliau berpendapat bahawa dua langkah utama mendorong kepada keakraban baharu antara kedua-dua negara.

Pertama, Kerjasama Strategik pada 2014, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan kedua, peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif yang diumumkan Presiden Recep Tayyip Erdoğan dan Ismail Sabri pada 7 Julai 2022.

Selain itu, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan penting dalam dasar “Asia Anew” Turkiye, iaitu pendekatan baharu negara itu terhadap rantau ini.

Yuksel berkata beliau juga akan memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama ekonomi dan mengembangkan perdagangan dan pelaburan dua hala; memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang teknologi; kerjasama industri keselamatan dan pertahanan melalui perkongsian mampan, program pertukaran cendekiawan dan pelajar serta menggalakkan kerjasama dalam sektor pelancongan.

Mengenai pendidikan, beliau berkata 21 lagi biasiswa Turkiye akan ditawarkan kepada pelajar Malaysia tahun ini.

Sehingga kini, seramai 260 pelajar Malaysia mendapat manfaat daripada program biasiswa Turkiye.

“Selaras dengan keperluan Malaysia, kami bersedia untuk meluaskan skop biasiswa terbabit,“ katanya.

Sejak sekatan terhadap COVID-19 ditarik balik, Yuksel berkata sektor pelancongan Turkiye menyaksikan peningkatan dengan 34,011 rakyat Malaysia melawat negara itu setakat Julai.

Bagaimanapun, beliau mengakui angka pra-pandemik cukup memberangsangkan apabila ketibaan pelancong dari Malaysia merekodkan angka melebihi 114,000.

Kekerapan penerbangan terus Turkish Airlines dari Kuala Lumpur ke Istanbul akan ditingkatkan kepada 10 kali seminggu berbanding tujuh kali seminggu ketika ini.

“Saya juga ingin menambah bahawa Istanbul adalah antara hab yang paling mudah untuk pengembara antarabangsa.

“Sebagai contoh, jika anda mempunyai rancangan untuk melancong ke Asia Barat, Eropah, Afrika, Asia Tengah atau Amerika, yang hanya beberapa jam dari Istanbul, cuma luangkan masa beberapa hari di Istanbul dan teruskan perjalanan anda dengan menggunakan perkhidmatan Turkish Airlines, yang merangkumi 287 destinasi antarabangsa dan 53 domestik di 129 negara,“ kata Yuksel.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon