FTA Malaysia-Korea Selatan perkukuh hubungan ekonomi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FTA Malaysia-Korea Selatan perkukuh hubungan ekonomi

FTA Malaysia-Korea Selatan perkukuh hubungan ekonomi

29 Sep 2022

Usaha bagi Malaysia dan Korea Selatan mewujudkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dilihat sebagai amat penting bagi memperkukuh hubungan ekonomi sedia ada, kata Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata sejajar dengan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuatkuasa pada awal tahun ini selain pengaturan serantau lain seperti Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang sedang dibincangkan, FTA dua hala berkenaan sebaliknya kurang mendapat tumpuan dengan momentumnya yang dilihat lebih perlahan.

“Memandangkan skop pertukaran ekonomi kita semakin meluas, adalah dijangkakan bahawa keperluan FTA dua hala itu yang meliputi ciri-ciri khusus negara yang lazimnya kurang mendapat perhatian oleh perjanjian seperti RCEP, menjadi semakin penting.

“Atas alasan ini, penting sebenarnya untuk kedua-dua kerajaan kita mengekalkan momentum rundingan FTA dua hala dan saya sendiri berharap dapat melihat komitmen lebih besar daripada kerajaan kedua-dua negara untuk merealisasikannya,” katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini bersempena Hari Asas Kebangsaan Korea Selatan yang diraikan pada 3 Oktober.

Mengulas selanjutnya, Lee berkata walaupun Korea Selatan mempunyai FTA berasingan dengan ASEAN, negara itu sebaliknya masih belum memuktamadkan perjanjian serupa dengan Malaysia sejak kedua-dua negara memulakan rundingan FTA pada 2019.

Walaupun berdepan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, beliau berkata hubungan dua hala telah mencatat kemajuan memberangsangkan dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik dijalinkan pada Februari 1960.

“Apa yang paling ketara adalah jumlah perdagangan dua hala kita yang telah melonjak 7,200 kali sejak 60 tahun lepas dan aliran perdagangan itu terus meningkat, termasuk ketika pandemik.

“Walaupun pandemik itu telah menjejaskan pertumbuhan, pertukaran di peringkat rakyat telah melepasi angka sejuta buat pertama kalinya pada 2019. Angka itu juga kian meningkat semula selepas pembukaan sempadan negara,” katanya.

Menurut Kedutaan Korea Selatan di Malaysia, jumlah dagangan dua hala mencatat US$20.6 billon pada 2021 berbanding US$28.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut juga jauh lebih ketara berbanding hanya kira-kira AS$2.83 juta pada 1965.

Mengenai hubungan ekonomi kedua-dua negara ini dapat dipertingkatkan lagi, beliau berkata masih terdapat ruang untuk mengembangkan lagi potensi kerjasama secara berterusan serta dapat diperkukuh.

Malah, beliau juga optimis jumlah dagangan dua hala pada tahun ini mampu mencecah paras lebih tinggi berbanding tahun lepas, didorong oleh pertumbuhan dagangan serta pelaburan yang berterusan walaupun dalam persekitaran pandemik.

“Bagi saya, dari segi kerjasama ekonomi, peningkatan itu telah didorong oleh asas ekonomi kukuh yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya antara Korea Selatan dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, negara-negara lain turut meninjau peluang perniagaan di Malaysia sebagai reaksi terhadap usaha penyusunan semula rantaian bekalan global, krisis iklim serta peralihan tenaga.

“Saya menjangkakan aliran sedemikian akan berterusan memandangkan RCEP baru berkuatkuasa pada awal tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi hasrat kedutaan itu untuk membuka sebuah pejabat Konsulat Jeneral di Kota Kinabalu, Sabah, tidak lama lagi.

Dalam tempoh dua tahun ini, syarikat-syarikat Korea Selatan telah membuka cawangan di Malaysia termasuk Korean Education Centre, Pusat Perniagaan Korea Agensi Penggalakan Perdagangan-Pelaburan Korea (KOTRA), Korea Water Resources Corporation dan Korea Agro-Fisheries and Food Trade Corporation.

Paling terbaharu adalah pihak Korea Environment Corporation yang telah membuka Pejabat Serantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada bulan ini.

Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan di Asia Tenggara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon