B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya terhadap WTO membuahkan hasil – MITI

Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya terhadap WTO membuahkan hasil – MITI

11 Feb 2023

Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan mengekalkan persekitaran perdagangan yang terbuka dan telus membuahkan hasil apabila bilangan soalan yang dibangkitkan pada Semakan Semula Dasar Perdagangan (TPR) kelapan di Geneva, Switzerland berkurangan dengan ketara.

Malaysia telah menerima sejumlah 367 soalan daripada 28 ahli WTO dengan majoriti soalan dari Amerika Syarikat, India, Australia, Kesatuan Eropah dan negara-negara anggota ASEAN.

Untuk rekod, bilangan soalan bertulis yang diterima oleh Malaysia pada TPR kelapan berkurangan berbanding 476 soalan diterima pada 2018, yang mencerminkan usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya kepada WTO dan mengekalkan persekitaran perdagangan yang terbuka dan telus, kata satu kenyataan dari Geneva kepada Bernama.

Ia berkata soalan-soalan ini merangkumi pelbagai bidang seperti keterbukaan perdagangan, hak harta intelek, sekuriti makanan, pensijilan halal, perkhidmatan kewangan, pembangunan mampan, e-dagang, pembangunan PKS, perjanjian perdagangan bebas, piawaian, serta isu berkaitan perdagangan dan jantina.

“Malaysia komited untuk menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, serta melaksanakan pembaharuan ekonomi dan amalan baik dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kemampanan alam sekitar,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut.

TPR Malaysia kelapan telah diadakan pada 8 Feb dan 10 Feb, 2023.

Kementerian dan agensi-agensi lain yang terlibat ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Kenyataan itu juga berkata 37 ahli WTO melakukan intervensi dengan mengemukakan soalan dan memberikan komen positif mengenai dasar perdagangan dan pelaburan Malaysia semasa TPR dua hari itu.

Kebanyakan ahli telah memuji Malaysia di atas prestasi ekonominya walaupun menghadapi cabaran disebabkan pandemik, serta usaha berterusan Malaysia untuk menambah baik perundangan domestiknya bagi memenuhi piawaian antarabangsa terutamanya dalam bidang harta intelek dan hak pekerja.

Ahli WTO juga memuji sumbangan produktif Malaysia dalam perjanjian perdagangan serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Ahli-ahli mencerap perkembangan itu sebagai sesuatu yang baik untuk liberalisasi perdagangan pelbagai hala yang progresif.

Malaysia dipuji kerana penyertaan aktifnya dalam perbincangan WTO, seperti Inisiatif Kenyataan Bersama mengenai Kemudahan Pelaburan untuk Pembangunan (IFD) dan e-Dagang, mesyuarat Pembaharuan Kumpulan Cairns dan WTO. Pada masa ini, Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva diketuai oleh Duta Besar Syahril Syazli Ghazali.

TPR ialah pelaksanaan yang dimandatkan dalam perjanjian WTO, sebagai sebahagian daripada obligasi ketelusan, yang mana dasar perdagangan dan berkaitan perdagangan Ahli-ahli WTO diperiksa dan dinilai. TPR Malaysia sebelum ini telah diadakan pada 2018.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon