B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Sarawak komited transformasi negeri jadi bandar hijau yang mampan

Kerajaan Sarawak komited transformasi negeri jadi bandar hijau yang mampan

11 Feb 2023

Kerajaan Sarawak tetap komited untuk mentransformasikan negeri ini menjadi bandar hijau yang mampan bagi mengiktiraf kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, matlamat negeri adalah untuk mewujudkan bandar yang boleh didiami, sihat dan bertenaga yang akan memenuhi keperluan penduduk dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita melaksanakan pelbagai amalan pembangunan bandar yang mampan, termasuk bangunan cekap tenaga, sistem pengangkutan mampan dan pembangunan ruang hijau.

“Kita juga mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan jejak karbon sejajar dengan komitmen terhadap Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Asean Education Cities Conference (AECC) 2023 di Universiti Sunway di Petaling Jaya, pada Sabtu. 

Dengan memasukkan elemen kelestarian alam sekitar ke dalam usaha pemulihan ekonomi, Abang Johari berkata ia bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah turut mewujudkan peluang untuk pelaburan dan pertumbuhan dalam ekonomi hijau.

“Ini akan membolehkan kita menarik perniagaan dan pelabur yang mencari destinasi pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Ia secara tidak langsung akan menyokong matlamat kita untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan Indeks Bangunan Hijau telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa projek bangunan hijau yang terkenal sedang dibangunkan di negeri ini.

“Bangunan-bangunan ini terdiri daripada bangunan pejabat komersial dan pembangunan kediaman kepada hotel dan projek bercampur,” jelasnya.

Memandangkan persekitaran binaan menjadi penyumbang besar kepada jejak karbon katanya, penekanan terhadap kualiti persekitaran dalaman bersama-sama dengan penambahbaikan dalam kualiti udara, pencahayaan, dan keselesaan haba adalah asas dalam pelan tindakan pembangunan bandar dan luar bandar Sarawak.

Tambahnya, ini boleh digunakan untuk  menerajui penggunaan bahan lestari dan amalan pembinaan.

“Salah satu projek terkenal adalah daripada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang menerima penarafan Platinum berprestij untuk reka bentuk kampus yang menggabungkan elemen hijau,” katanya.

Menurut beliau, UTS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dan institusi itu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan masyarakat bagi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030 dan pendigitalan Sarawak.

Katanya, Sarawak juga sedang membangunkan pelan tindakan masyarakat rendah karbon di bandar dan pekan di Sarawak untuk mencapai matlamat kemampanan dengan menangani kebimbangan berkaitan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga, dan mempromosikan pilihan pengangkutan yang mampan.

“Kita juga telah membangunkan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang mempertimbangkan mobiliti karbon rendah dan infrastruktur bandar pintar untuk ibu kota Sarawak.

“Kita juga mempunyai rancangan untuk membangunkan pelan induk bandar pintar yang serupa bagi kawasan bandar lain di Sarawak yang mengimbangi kelestarian alam sekitar dan pembandaran,” katanya.

Dengan itu, beliau berkata untuk membina masa depan yang lebih baik, terdapat keperluan untuk sistem pendidikan yang berdaya tahan, menyesuaikan diri dan mampu melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran secara berterusan.

“Kita perlu melabur dalam pendidikan dan penyelidikan, memupuk kerjasama antara universiti, sekolah dan perniagaan serta mewujudkan komuniti yang cergas dan inklusif yang menyokong pembelajaran dan inovasi.

“Dengan bekerjasama dan berkongsi amalan terbaik, kita boleh membina bandar pendidikan yang menjadi model untuk dunia. Kita boleh mencipta persekitaran yang menyokong, memberi inspirasi dan memperkasakan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan bakat dan menarik individu berkemahiran dan mengurangkan fenomena ‘brain drain’ di negeri ini.

“Ingin saya tekankan bahawa masa depan pendidikan dan bandar mampan kita berada di tangan kita.

“Saya percaya membangunkan bandar bersepadu, pintar dan ekonomi boleh membawa banyak faedah, termasuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau, kehidupan sihat, kemampanan dan kitaran ekonomi yang dimodelkan khas untuk Sarawak,” kata Abang Johari.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon