B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Urus niaga e-dagang di Malaysia melonjak

Urus niaga e-dagang di Malaysia melonjak

11 Ogo 2021

Pendapatan transaksi e-dagang Malaysia pada suku kedua 2021 meningkat sebanyak 23.3 peratus tahun ke tahun kepada RM267.6 bilion, didorong khususnya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan mengenai Prestasi Sektor Perkhidmatan dan Pendapatan e-Dagang Suku Kedua 2021 yang dikeluarkan pada Rabu, prestasi hasil sektor perkhidmatan juga meningkat 20.5 peratus kepada RM404.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata di bawah sektor perkhidmatan itu, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman (F&B) serta penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion.

“Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang naik 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.

“Segmen kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi pula merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion manakala segmen profesional dan ejen hartanah meningkat 8.0 peratus kepada RM8.2 bilion,” katanya.

Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor perkhidmatan bagi suku kedua 2021 menokok 0.4 peratus atau RM100.5 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8 peratus,” katanya.

Segmen perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan menambah RM9.3 juta manakala kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi naik sebanyak RM3 juta.

Walaupun upah dan gaji meningkat pada tempoh di bawah kajian, Mohd Uzir berkata bilangan pekerja dalam sektor itu berjumlah 3.6 juta orang iaitu susut 25,812 orang atau 0.7 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian besar pengurangan itu disebabkan oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang susut sebanyak 11,297 orang atau 2.4 peratus, diikuti oleh perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan yang merosot 6,127 orang atau 0.2 peratus.

Selain itu, jumlah pekerja dalam segmen segmen kesihatan dan kesenian, hiburan dan rekreasi susut 1.7 peratus atau 4,772 orang manakala segmen profesional dan ejen hartanah berkurangan sebanyak 3,616 orang atau 2.0 peratus, kata Mohd Uzir.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon